PELAKON, pelawak dan penyanyi Joey Daud mengaku tiada masalah jika influencer atau pempengaruh mahupun YouTuber diberikan peluang berlakon.
Bagi pemilik nama sebenar Zulkifli Daud, 49, pihak produksi haruslah bijak memberikan peranan atau watak yang sesuai dengan mereka.
“Sekarang pengikut dalam media sosial boleh dibeli. Cara ini secara tidak langsung mengajar orang lain menipu bagi menempatkan diri dalam dunia seni.
“Bagaimana dengan nasib pelakon berpengalaman yang tidak memiliki media sosial seperti Eman Manan. Adakah pelakon hebat sepertinya dipinggirkan?
“Jika ikutkan, saya baru sahaja buat akaun Instagram. Saya harap janganlah disebabkan pelakon tiada pengikut, produksi tidak mahu ambil berlakon sedangkan kita tahu kemampuannya.
“Sebenarnya, saya tidak kisah jika ingin beri peluang kepada pempengaruh atau Youtuber, tapi janganlah terus diberikan watak utama, sebaliknya mulakan dengan watak ‘cameo’ atau pembantu.
“Dari situ, mereka akan belajar bahasa kamera,” katanya yang sering berdepan situasi pempengaruh yang menyusahkan pasukan produksi di lokasi penggambaran disebabkan didak memahami bahasa kamera.

Terbaharu, Joey turut membintangi filem dialek Negeri Sembilan, Gadis Jolobu The Movie arahan CL Hor.
Joey berkata, bukan tugas mudah untuk dirinya membiasakan dialek Negeri Sembilan dalam filem tersebut.
“Walaupun saya anak kelahiran Johor, insya-Allah saya boleh cuba buat dialek Negeri Sembilan. Cuma, saya tolak kalau dialek Pahang sebab susah.
“Lagipun, saya tidak takut sebab ramai orang Negeri Sembilan membantu saya seperti Datuk Hattan. Saya terima sebab saya mahu belajar budaya Negeri Sembilan,” katanya.
Selain Joey, projek mega dimeterai antara syarikat hiburan terkemuka Asia Pasifik, Tremendous Entertainment dan Zebra Studio Sdn Bhd diterajui Datuk Hattan, Khir Rahman dan bintang baharu, Ahirine Ahirudin.
Joey ditemui pada sidang media Gadis Jolobu The Movie di Kuala Lumpur Jazz And Arts Centre (KLJAC), baru-baru ini.
Filem Gadis Jolobu The Movie kini sedang rancak menjalani penggambaran di Kampung Lonek, Negeri Sembilan sejak minggu lalu.
Ia dijangka ditayangkan di pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) dan platform Over-The-Top (OTT), Get PLAY pada Jun depan. – WILAYAHKU