ANUGERAH Khas Biduanita Negara yang diterima Datuk Seri Siti Nurhaliza, 45, pada Anugerah Seni Negara 2024 (ASN 2024) tidak mengubah apa-apa tentang dirinya.
Siti yang ditemui pada Majlis Apresiasi Media & Pelancaran Single Sejarah, berkata dia lebih senang disapa dengan panggilan Siti.
Bagaimanapun kata penyanyi nombor satu negara itu dia tetap menghargai watikah diberikan.
“Alhamdulillah ini adalah penghargaan tertinggi dalam kerjaya saya selama hampir 30 tahun dalam bidang seni.
“Saya akui perjalanan dalam bidang ini bukan mudah, kejayaan itu datang bersama cabaran, dugaan, ketabahan dan kesungguhan.
“Bagi pihak yang melihat perjuangan saya, saya sangat berterima kasih kerana memilih saya dan berasakan saya layak untuk menerima watikah ini.
“Insyallah saya akan memberikan yang lebih baik lagi. Selagi boleh menyanyi, saya berazam untuk terus harungi industri seni walaupun tidak tahu sampai bila saya boleh bertahan,” katanya kepada wakil media.
Penyanyi yang baru melancarkan single terbarunya Sejarah, ciptaaan komposer Indonesia, Erwin Gutawa bersama anaknya Gita Gutawa, juga berkata dia masih Siti Nurhaliza yang dulu.
Justeru, kata Siti tidak perlu segan mendekatinya atau memanggilnya dengan gelaran tertentu.
“Tak perlu rasa segan mendekati saya. Saya tetap Siti Nurhaliza yang sama, macam mana anda kenali saya dulu, begitu jugalah saya sekarang.
“Saya juga tidak kisah macam mana peminat hendak memanggil saya, itu saya serahkan kepada mereka.
“Bagi acara formal, itu terpulang kepada pihak penganjur. Apa pun gelaran yang mereka panggil, saya hormati kerana saya tahu mereka sekadar menghargai anugerah diberikan,” katanya.
ASN 2024 adalah penghormatan tertinggi kerajaan kepada penggiat seni atas sumbangan dalam bidang kesenian negara, mampu melonjakkan tokoh seni tempatan sebagai seniman bertaraf dunia
ASN sudah dianjurkan sebanyak lapan edisi bermula 1993, 1995, 1997,1999, 2002, 2004, 2006 dan kali terakhir penganjurannya adalah pada 2009 dengan tokoh pernah menerima ASN ialah Tan Sri Dr Jins Shamsudin (Seni Lakon & Perfileman), Tan Sri Dr Ahmad Nawab (Seni Muzik) dan Abdul Rahman Abu Bakar (Seni Teater Bangsawan).
ASN diperkenalkan pada 1993 untuk mengiktiraf pencapaian menakjubkan penggiat seni dalam pelbagai cabang seni seperti muzik, tari, lakon, kraf dan seni visual. – WILAYAHKU