Berita

“Saya tetap hormat mak cik Ellie, dia juga artis legenda” – Imran Bard

- Diterbit 22 Februari 2025 8:50 AM MYT

KECOH dalam media sosial apabila pelakon terkenal Ellie Suriaty yang menuntut permohonan maaf daripada ibu bapa pempengaruh Imran Bard susulan dikatakan mencalarkan nama baiknya menerusi video di TikTok.

Tidak berdiam diri, Imran Bard sekali lagi memberikan respons berkaitan kontroversi melibatkan dirinya yang berdepan tindakan saman daripada pelakon Ellie Suriaty.

Imran menerusi akaun TikToknya menegaskan bahawa dia masih menghormati pelakon tersebut namun berasa marah dalam video terdahulu kerana Ellie telah meminta ibunya yang kini masih menerima rawatan di hospital membuat permohonan maaf.

“Jangan salah faham. Saya tetap hormat mak cik Ellie sebagai orang lebih tua dan artis veteran. Dia juga artis legenda.

“Cuma saya sedikit marah sebab mak saya sedang masuk air di hospital kemudian tiba- tiba suruh dia minta maaf, memang agak kecewa sebab banyak pula hal nak kena hadap.

“Namun, pada akhirnya, Ellie tetap lebih tua daripada saya dan artis veteran yang perlu dihormati,” katanya.

Sementara itu, gara-gara isu ini Imran juga menerima kecaman dari netizen termasuk pengguna di Facebook.

Sebelum ini, Ellie mengadakan sidang media menuntut permohonan maaf daripada ibu bapa Imran yang didakwa menjejaskan namanya menerusi dua hantaran video dalam TikTok dengan kandungan berunsur fitnah.

Ellie kecewa apabila mendakwa Imran memperlekeh reputasi yang dibinanya lebih tiga dekad dengan begitu sahaja menerusi konten dikongsikan.

Dalam kandungan video itu, Imran berseloroh seolah-olah menjadi juri sebuah pertandingan nyanyian dan menyebut nama Ellie termasuk kononnya mempunyai kaitan dengan bahan terlarang.

Walau bagaimanapun, Ellie berkata dia tiada masalah untuk menyantuni ibu Imran yang dikatakan anaknya masih menerima rawatan akibat sakit. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas