MEMILIH DAP sebagai wadah perjuangan politik, bukan sedikit tohmahan diterima Yang Berhormat (YB) YOUNG SYEFURA OTHMAN khususnya apabila dipilih untuk bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Ketari pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018.
Menang dengan cukup selesa, beliau kemudiannya tidak toleh lagi ke belakang melayan cakap-cakap termasuk dilabel sebagai pengkhianat. Dalam PRU ke-15 (PRU15), wadah politiknya semakin melebar dengan kemenangan di kerusi Parlimen Bentong.
Dalam temu bual bersama wartawan Wilayahku, METRA SYAHRIL MOHAMED, Young Syefura yang mesra disapa Rara ini sudah semakin lali dengan apa yang diperkata orang terhadapnya dan DAP. Kini beliau mengatur anak-anak muda terutama wanita untuk berani berpolitik dan mendepani isu-isu rakyat.
Selesai sudah takwim Dewan Rakyat untuk 2024. Bagaimana YB melihat prestasi Kerajaan Perpaduan setakat ini? Bagaimana pula prestasi pembangkang selaku semak dan imbang?
Setakat ini Kerajaan Perpaduan sudah buat yang terbaik untuk memastikan kestabilan politik negara. Bagaimanapun masih ada ruang untuk diperbaiki, terutamanya dalam isu melibatkan ekonomi, kos sara hidup dan perkhidmatan untuk rakyat.
Di pihak pembangkang pula, mereka memang aktif memainkan peranan sebagai semak dan imbang. Namun begitu adakalanya mereka lebih memfokus kepada drama politik daripada menyediakan atau memberi penyelesaian yang konkrit terhadap sesuatu isu atau permasalahan yang dibangkitkan. Oleh yang demikian, kita amat mengharapkan semua pihak lebih mengutamakan keperluan-keperluan rakyat.
Bagaimana YB membawa nama DAP di bahu YB? Apakah cabaran yang dilalui sepanjang bergelar YB daripada parti itu khususnya penerimaan orang Melayu?
Menjadi wakil rakyat daripada DAP memang satu cabaran yang besar, terutama sebagai orang Melayu. Saya sentiasa membuktikan yang DAP ini bukan parti untuk satu kaum saja. Memang cabaran besar nak ubah persepsi negatif, sebab sudah lama (DAP) dimomok-momokkan. Tetapi saya percaya, kerja keras, tunjuk hasil dan terus dekati masyarakat boleh ubah pandangan itu terhadap DAP.
Wadah perjuangan DAP selalu dikaitkan dengan kaum tertentu. Malah DAP sering dikatakan anti-Islam. Pandangan YB?
Tuduhan ini biasa kita dengar, tetapi selalunya datang daripada pihak yang tidak ikhlas dalam perjuangan. Mereka orang yang sekadar menabur fitnah dan memecahbelahkan masyarakat.
Bagi saya, sebagai wakil rakyat dan pemimpin Islam dalam DAP, saya sendiri memastikan nilai-nilai Islam dihormati dan diterapkan dalam dasar yang adil untuk semua. Kita tak layan politik kebencian, tetapi kita fokus kepada kerja dan khidmat kepada rakyat.
Pengalaman YB bersama Barisan Nasional (BN)? Dahulu dianggap bermusuh, kini ‘sekutu’ di Putrajaya.
Memang agak janggal pada mulanya bila dulu kita lawan, sekarang bekerjasama. Namun saya anggap ini langkah yang matang dalam politik. Kita letak tepi perbezaan Pakatan Harapan (PH) dan BN. Apa yang penting sekali adalah perjuangan kepada apa yang rakyat perlukan. Kerjasama ini (parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan) satu peluang untuk kita belajar dan seterusnya membina sesuatu yang jauh lebih baik bersama.
Di sidang Dewan Rakyat, apabila berlaku pertikaman lidah antara penyokong kerajaan dan pembangkang, apa pendirian YB? YB dilihat banyak berdiam dan tidak ambil bahagian dalam ‘pertikaman’ itu untuk mempertahankan kerajaan.
Kalau tengok saya di Dewan Rakyat, memang saya tak suka sangat masuk dalam pertikaman lidah yang tak membawa hasil. Lebih baik fokus kepada isu rakyat dan berhujah dengan fakta bila perlu. Drama politik ini tak selesaikan masalah.
Tak dapat dinafikan kadang-kadang ada insiden provokasi di Parlimen.
Bila pembangkang fitnah atau mengelirukan dewan, backbenchers kerajaan akan bangun dan pertahankan. Bagi saya semua ada peranan masing-masing.
YB sebelum ini ada mengetengahkan isu mengenai gangguan seksual termasuk mendedahkan pernah menjadi mangsa. Bagaimana YB melihat isu tersebut kini, lebih-lebih lagi dengan perkembangan teknologi?
Gangguan seksual memang isu serius. Dengan teknologi sekarang, cabarannya makin besar, sebab ada media sosial dan macam-macam platform lain. Saya akan terus bersuara untuk memastikan undang-undang lebih tegas dan kesedaran masyarakat tentang isu ini makin tinggi.
Undang-undang sahaja tidak cukup, kalau tiada kesedaran awam. Tetapi saya yakin, warganet kalau main peranan, boleh guna kuasa viral (tular) untuk kecam dan laporkan tindakan jenayah seksual ini kepada pihak berkuasa.
Pendapat YB mengenai anak-anak muda khususnya wanita yang mahu menjadi seperti YB untuk bergelar wakil rakyat?
Saya nak tengok lebih ramai wanita muda berani ceburi politik. Memang cabarannya besar, tapi bila ada semangat dan sokongan, kita boleh buat perubahan. Jangan takut mencabar norma, sebab suara wanita sangat penting dalam politik. Mula dari bawah, sertai program-program politik sertai sukarelawan, belajar selok-belok pentadbiran dan pengurusan program, insya-Allah ada peluang untuk asah bakat menjadi pemimpin.
YB pernah juga dilabel sebagai pengkhianat Melayu. Apakah ia masih diungkapkan? Apa yang YB ingin perkatakan mengenai isu melabel sebegini?
Orang akan cakap apa saja, tapi saya tak ambil hati. Bagi saya, kerja saya adalah untuk semua rakyat Malaysia, tak kira bangsa atau agama. Yang penting, kita buat yang terbaik dan jaga integriti.
Warga Bentong berpuas hati dengan perkhidmatan YB selaku wakil rakyat? Apa kad laporan YB untuk warga Bentong?
Saya sentiasa cuba buat yang terbaik untuk warga Bentong. Fokus utama saya adalah isu infrastruktur, bencana alam seperti banjir, isu kesihatan serta kebajikan rakyat. Setakat ini, saya mendapat maklum balas positif tapi saya sedar masih banyak lagi yang boleh diperbaiki.
PRU16, apa yang YB hendak perkatakan mengenainya? Apakah PH masih sesuai bersama BN dan parti-parti lain atau sebaliknya?
PRU16 nanti, kita serahkan kepada rakyat untuk buat penilaian. Saya rasa kerjasama PH-BN ini masih relevan, tapi formula kena terus diperhalusi. Yang penting, kita semua letak rakyat sebagai keutamaan, bukan kepentingan kuasa. – WILAYAHKU
