Selebriti

“Saya layak jadi penyanyi kerana mempunyai tone yang sedap”… Kelly Azman kini muncul lagu raya

|KELLY Azman muncul dengan lagu Nikmat Did Hari Raya duet bersama Isma.|
- Diterbit 17 April 2022 4:27 AM MYT

SELEBRITI serba boleh, Kelly Azman kini muncul dengan single terbaharu berjudul Nikmat Di Hari Raya, duet bersama Ismaliza Ismail (Isma AF7).

Nikmat Di Hari Raya merupakan single ketiga Kelly selepas Kepulangan Di Hari Raya (2010) dan No No No (2017).

“Single ini merupakan ciptaan S. Atan dan liriknya pula nukilan Tanty dan Miss Darna. Sepatutnya lagu ini dikeluarkan pada tahun lalu tetapi atas kekangan pandemik, lagu ini dapat direalisasikan pada tahun ini.

“Idea untuk menghasilkan lagu ini datang dengan spontan bersama Isma. Semuanya dipermudahkan biarpun menghadapi rintangan dan akhirnya lagu ini muncul selepas setahun menanti.

“Menerusi single Nikmat Di Hari Raya, kami bekerjasama dengan Sony Music. Alhamdulillah, lagu ini sudah boleh didengari di semua platform penstriman digital pada 15 April dan jika tiada aral melintang, ia bakal berada di saluran YouTube Sony Music Malaysia pada 30 April ini.

“Lagu ini mengisahkan mengenai nikmat untuk kembali meraikan lebaran bersama keluarga dan teman tersayang pada tahun ini selepas dua tahun tidak bersama kerana Covid-19. Saya berharap lagu ini dapat sambutan yang baik, Insya-Allah,” katanya.

KELLY Azman muncul dengan lagu Nikmat Did Hari Raya duet bersama Isma.

Biarpun sering menerima kritikan netizen yang menganggap dirinya tidak layak bergelar penyanyi, juri program All Together Now Malaysia ini mempunyai pendirian tersendiri.

“Ramai yang tak berpuas hati dengan saya, pastinya kehadiran single ini akan dikritik, lebih-lebih lagi apabila ada netizen yang menganggap saya tak layak bergelar penyanyi.

“Saya rasa saya layak menjadi seorang penyanyi kerana saya mempunyai tone suara yang sedap dan mempunyai bakat tersendiri dalam bidang muzik. Saya yakin dengan bakat dan suara yang diberikan oleh Allah untuk saya menghiburkan peminat.

“Biarpun saya menerima kecaman, ramai juga peminat yang memberikan sokongan tak berbelah bahagi. Jadi, itu menjadi sebab untuk saya terus berusaha dalam bidang seni tanpa rasa bosan dan penat. Lagipun, bidang seni adalah minat saya dan saya tak akan berhenti untuk memberikan yang terbaik.

“Insya-Allah, selepas ini saya bakal muncul dengan single balada dan saya juga sedang dalam perancangan untuk berkolaborasi bersama trio BBNU. Saya teruja kerana lagu itu dicipta oleh komposer prolifik, Sharon Paul. Doakan segalanya dipermudahkan,” katanya.

Dengarkan single Nikmat Di Hari Raya di semua platform penstriman digital sekarang! – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas