LAPAN tahun menguruskan kerjaya penyanyi popular Wany Hasrita merupakan satu kenangan manis buat FMC Music.
Namun, sudah menjadi adat, setiap pertemuan pasti disusuli perpisahan apabila Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita,32, sudah tamat kontrak bersama FMC Music.
Sebagai penutup kerjasama FMC Music bersama Wany Hasrita, pihak syarikat telah melancarkan single terakhir berjudul Noktah Rindu ciptaan Goufran dan Ibnu.
Menurut Pengarah Urusan FMC Music, CF Ho tiada masalah yang timbul sepanjang kerjasama mereka.
“Kita mula dengan lagu cinta dan kita melepaskan Wany dengan lagu cinta juga. Sebenarnya lagu ini sudah dirakamkan sewaktu pandemik COVID-19 yang lalu, tetapi kita simpan dulu kerana kita nak cuba lancar single genre yang berbeza.
Sebenarnya saya fikir Wany akan sambung kontrak bersama FMC Music. Sepanjang bersama kami tiada langsung masalah antara pihak FMC dan Wany. Semuanya berjalan dengan baik. Dalam masa yang sama, kami juga berharap Wany terus bersama kami.
“Namun begitu, keputusan ditentukan oleh Wany sendiri. Kebetulan pula, judul lagu Noktah Rindu seakan-akan membayangkan hubungan rasmi kami terhenti di sini. Namun begitu pintu FMC selelu terbuka untuk Wany kembali,” katanya.
Memulakan kerjaya nyanyian secara serius bermula sejak 2016, Wany diperkenalkan menerusi lagu duet Memori Berkasih (versi baharu) duet bersama penyanyi berasal dari Korea Selatan, Kim Dong Gyun.
Semenjak itu Wany atau nama sebenarnya Nurshazwany Hasrita,32, mula menjadi sebutan ramai apabila lagu Menahan Rindu nyanyiannya meledak di semua radio dan tular dalam media sosial sehingga melayakkan lagu ini ke Anugerah Juara Lagu 32 (AJL 32).
Dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular di ABPBH 31 (2018) merupakan pencapaian tertinggi Wany Hasrita bersama FMC.
Sepanjang hampir lapan tahun bersama FMC, Wany Hasrita telah menghasilkan 10 buah lagu solo (termasuk Noktah Rindu), 10 buah lagu duet, enam lagu Raya Aidilfitri dan tiga lagu duet cover termasuk BAKAWALI duet bersama Datuk Jamal Abdillah.
Kejayaan melangkah ke Anugerah Juara Lagu untuk beberapa kali merupakan penanda aras bahawa Wany hasrita bukanlah artis yang datang dan pergi.
Memiliki wajah yang cantik dan keperibadian yang menarik merupakan satu anugerah melengkapkan lagi pakej pemilik nama Wany Hasrita.
Lagu Noktah Rindu ini telah dilancarkan secara rasmi di Youtube FMC Music dan seluruh laman sosial digital dan radio bermula 22 Ogos baru-baru ini. – WILAYAHKU