Berita

Satelit penderiaan jauh UzmaSAT-1 Malaysia dilancar ke orbit rendah

- Diterbit 15 Januari 2025 11:41 AM MYT

SATELIT penderiaan jauh UzmaSAT-1, keluaran syarikat swasta tempatan, Uzma Berhad, dilancarkan ke orbit rendah awal pagi tadi menerusi roket Falcon 9 Transporter 12 milik syarikat SpaceX.

Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) memberitahu, ia dilancarkan pada pukul 3 pagi waktu Malaysia di Vandenberg Space Force Base, California, Amerika Syarikat (AS).

Menurutnya, satelit UzmaSAT-1 merupakan satelit ke-13 yang berada di bawah pengawasan Malaysia selain satu lagi petunjuk kepada kerajaan pelaksanaan Dasar Angkasa Negara (DAN) 2030 dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2023.

“Selaku DAN 2030, MOSTI melalui Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) sentiasa komited dalam menyokong usaha pemain-pemain industri tempatan dalam meneroka aktiviti pembangunan sektor angkasa negara yang berdaya saing dan mampan,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

MOSTI menambah, satelit beresolusi tinggi seberat 45.4 kilogram (kg) itu dijangka mampu menyediakan data dan maklumat permukaan bumi negara bagi meningkatkan operasi pemantauan.

Ia jelas MOSTI, memberi impak signifikan dalam memperkasa pengurusan sekuriti makanan, keselamatan dan pertahanan negara.

“Penggunaan infrastruktur negara sedia ada melalui kerjasama strategik dalam aspek pengoperasian satelit berkenaan dijangka dapat mengoptimumkan lagi pengurusan imej-imej berkaitan Malaysia serta mampu meningkatkan kepelbagaian penggunaannya.

“Kejayaan pelancaran dan pengoperasian UzmaSAT-1 ini merupakan salah satu manifestasi terhadap penyertaan aktif pemain industri tempatan dalam aktiviti-aktiviti berkaitan angkasa yang mampu meningkatkan daya saing dan inovasi berterusan, menjimatkan perbelanjaan kerajaan serta menyumbang kepada pembentukan sumber ekonomi angkasa baharu (new space economy) negara,” katanya.

Katanya, seiring dengan pelaksanaan Pelan Tindakan DAN 2030 yang dikenali sebagai Malaysia Space Exploration 2030 (MSE2030), kejayaan pelancaran satelit itu akan memperkukuh potensi keupayaan dan kepakaran tempatan dalam teknologi angkasa.

Ia juga katanya, mendorong pemain industri tempatan untuk meneroka potensi baharu agar Malaysia boleh beralih daripada negara pengguna teknologi angkasa kepada negara pencipta teknologi angkasa.

“Justeru berdasarkan dasar, pelan tindakan dan perundangan berkaitan aktiviti angkasa yang telah disediakan oleh kerajaan, seharusnya kejayaan pelancaran satelit UzmaSAT-1 ini menjadi pemangkin kepada usaha pembangunan ekosistem angkasa negara yang lebih maju demi manfaat kesejahteraan rakyat serta kemajuan negara,” tambahnya.

Terdahulu pelancaran satelit UzmaSAT-1 yang disiarkan secara langsung dari Vandenberg Space Force Base itu turut dipancarkan di Ibu Pejabat Kumpulan Uzma, Kuala Lumpur dan Ibu Pejabat Agensi Angkasa Malaysia (MYSA). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas