Oleh DEEL ANJER
PENYANYI nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza memanjatkan rasa syukur apabila banyak pihak sudi menyumbang untuk Tabung Bantuan Khas Palestin melalui yayasan miliknya (Nurjiwa Foundation).
Menerusi perkongsian di Instagram (IG) baru-baru ini, Siti memaklumkan wakil pihak pengurus sekolah Afwa Al Afiyyah yang berada di Gaza telah menyampaikan sumbangan buat rakyat Palestin.
“Dr Mohanad bersama-sama petugas di Afwa Al Afiyah hari ini memberi bantuan kewangan iaitu setiap keluarga USD100 (bersamaan lebih kurang RM450) bagi penduduk Palestin yang dapat kami bantu.
“Pihak Nurjiwa Foundation terus menyumbang RM100,000 lagi untuk keperluan di sana,” tulisnya.
Tambah Siti, menurut wakil yang berada di sana, apa yang termampu kini adalah memberikan bantuan kewangan terlebih dahulu untuk setiap keluarga membeli makanan.
“Suasana di sana memang sukar apabila terlalu ramai beratur untuk membeli makanan namun itulah situasinya. Apa yang terbaik dan termampu adalah memberikan bantuan kewangan terlebih dahulu untuk mereka mendapatkan keperluan.
“Alhamdulillah pihak kami masih dapat menghubungi Dr Mohanad walaupun panggilan dan mesej tersekat-sekat kerana Internet tidak stabil di sana (sangat terhad, ada masa dapat dihubungi dan sebaliknya) tetapi Nurjiwa Foundation tidak mahu menunggu lama, kerana bantuan kita adalah harapan mereka dan bantuan anda adalah tanggungjawab kami untuk disampaikan kepada mereka.
“Kami akan terus berusaha menyalurkan sumbangan ini secara berterusan dari semasa ke semasa,” ujar penyanyi lagu Cindai itu.
Siti yang meneruskan dana yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu itu berkata, usahanya itu bukan mahu menunjuk-nunjuk namun berkongsi dana yang dapat dikumpul melalui yayasan yang diasaskannya bersama suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa.
“Doakan agar saudara kita, Dr Mohanad dapat terus menjadi penghubung kita dalam menyampaikan sumbangan dan Allah memelihara seluruh rakyat Palestin.
“Saya tidak ada niat lain, saya hanya hamba Allah yang ada tanggungjawab, saya bukan mahu menunjuk-nunjuk tetapi saya bahagia dapat berkongsi dengan anda yang telah bersama-sama Nurjiwa Foundation untuk membantu saudara kita di Palestin.
“Semampu apa pun kita, meski dengan doa, itulah kekuatan kita semua,” katanya yang mensasarkan RM1juta untuk membantu rakyat Palestin.
Setakat 18 Oktober, Nurjiwa Foundation telah menerima hampir RM500 ribu sumbangan daripada pelbagai pihak.
Untuk membuat sumbangan, boleh layari https://kitafund.com/9909-tabung-bantuan-khas-palestin dan klik butang ‘Sumbang’.
Sumbangan untuk bantuan khas Palestin ini juga boleh disalurkan ke akaun Yayasan Nurjiwa: Maybank 514486106455. – WILAYAHKU