PENERBIT filem Raya Emas -Salako Sacred Treasure berharap naskah sulung mereka itu akan menyebarkan luaskan lagi industri perfileman dari Sarawak.
Selain dapat memperkenalkan budaya dan mempromosikan kepelbagaian makanan serta tempat-tempat menarik di Bumi Kenyalang.
Penerbit Eksekutif, Winson Voon, berkata Raya Emas – Salako Sacred Treasure yang bakal menemui penonton pada 3 April depan itu menembusi 20 pawagam di Semenanjung Malaysia dan seluruh Sarawak.
Akui berdebar menantikan reaksi penonton memandangkan itu adalah filem pertama terbitan Tinytune Production bersama Filmmaker Studio dan Sky Picture serta produksi daripada Filmforce Studio.
Winson bagaimanapun mengharapkan agar filem itu dapat diterima baik penonton.
“Naskah ini sebenarnya berasal dari sebuah filem pendek dan sudah lama berada dalam simpanan saya.
“Bila saya tunjukkan kepada Alan Chua iaitu salah seorang penerbit eksekutif kami, dia mencadangkan agar naskah itu diangkat sebagai filem.
“Oleh kerana ini adalah naskah sulung, jadi kami mengambil masa selama tiga tahun untuk mengolah filem pendek itu kepada filem,” katanya yang ditemui pada majlis tayangan filem itu di Dadi Cinema, Pavilion KL baru-baru ini.
Menurut Winson lagi, penggambaran 100 peratus dibuat di Sarawak, di mana 80 peratus adalah di sekitar Lundu.
“Penggambaran dibuat sepenuhnya di Sarawak. Selain ingin memperkenalkan budaya, kami juga ingin memperkenalkan tempat-tempat menarik yang ada di negeri ini.
“Malah 90 peratus pelakon dalam filem ini juga adalah anak jati Sarawak yang berfungsi sebagai platform kuat untuk mempamerkan bakat tempatan dan
memperkukuhkan industri filem tempatan.
“Walaupun jalan cerita filem ini tentang Raya Emas iaitu sejenis bunga emas dengan kuasa penyembuhan luar biasa adalah kisah fiksyen, filem ini menggambarkan autentik budaya dan tradisi masyarakat Salako yang memberikan pandangan unik kepada Sarawak yang kaya dengan pelbagai warisan,” katanya.
Winson juga berkata, filem itu juga bertujuan untuk meletakkan Sarawak sebagai pilihan utama untuk pengeluaran filem dan destinasi wajib dilawati bagi pelancong seluruh dunia.
Berkongsi mengenai sasaran untuk filem itu, Winson berharap filem berkenaan mampu meraih kutipan RM 2 juta.
Mengenai pemilihan Ahirine Ahirudin sebagai salah seorang teraju utama filem itu, Winson berkata, rupa paras pelakon wanita itu yang memiliki ciri wanita Sarawak menyebabkan dia dipilih untuk membintangi filem itu.
Selain Ahirine, filem itu turut dibintangi Dunstun Luther Junior, Melissa Francis, Nina Ksc, Willy Alfred Ting serta ramai lagi.
Raya Emas -Salako Sacred Treasure mengisahkan Zul lakonan Winson Voon seorang bapa yang terdesak mencari penawar untuk anaknya yang menghidap leukimia.
Zul menemui sebuah jurnal lama yang menceritakan tentang Raya Emas. Dia bertekad untuk mencari bunga legenda ini, walaupun terpaksa menjelajah ke kedalaman hutan hujan yang belum diterokai.-WILAYAHKU