Artikel

Sari batik tarik minat Gen Z

- Diterbit 4 November 2024 4:52 PM MYT

BATIK merupakan warisan seni tekstil negara yang tinggi nilainya. Ia perlu dijaga supaya tidak lapuk dek zaman. Malah generasi muda hari ini perlu diberi pendedahan terhadap warisan ini agar ia dapat dihidupkan sepanjang hayat.

Menyedari peri penting perkara itu‚ maka usahawan yang juga pelakon Bkay Nair mengambil peluang untuk memartabatkan seni warisan tersebut pada pertunjukan fesyen Malaysian Heritage Showcase 2024 (MHS2024) yang bakal berlangsung bulan depan.

Menariknya elemen sari yang merupakan pakaian tradisional kaum India akan dihasilkan daripada tekstil batik bagi menghasilkan pakaian tradisional masyarakat majmuk di Malaysia.

Menurut Bkay‚ rekaan sari batik bertujuan untuk menarik minat golongan muda atau Generasi Z (Gen Z) yang sukakan pembaharuan berbanding generasi terdahulu.

“Bukan sahaja penggemar pakaian tradisional yang sedia ada atau yang lebih berusia perlu diberi perhatian tetapi Gen Z pun sama pentingnya.

“Saya difahamkan‚ mereka suka sesuatu yang baharu‚ kalau kita suruh mereka pakai sari atau batik tradisional seperti yang biasa dilihat‚ mungkin susah sedikit. Tetapi jika kita tonjolkan sedikit elemen segar‚ ia boleh mencuri perhatian mereka.

“Jadi‚ kita perlu cipta sesuatu yang boleh membuatkan mereka rasa teruja. Anak-anak saudara saya semua generasi Z‚ jadi saya tahu mereka tak suka yang biasa-biasa. Mereka suka yang berbeza dan ada kreativiti‚” ujarnya.

Mengulas lanjut tentang MHS2024‚ pemilihan batik pada pertunjukan anjuran Bkay Nair Resources dengan sokongan Persatuan Pembangunan Perniagaan Fesyen Malaysia (PPPFM) akan datang mampu menghasilkan pelbagai jenis dan potongan fesyen mengikut kreativiti pereka.

Katanya‚ usaha memperkenalkan batik ke pentas lebih komersial ini mampu menjana pendapatan mereka yang terlibat dalam industri ini.

“MHS2024 juga bakal mengiktiraf dan menyediakan Anugerah Pereka Terbaik yang mula diperkenalkan sejak tahun lalu dalam menghargai usah pereka terbabit mengangkat warisan tekstil tempatan.

“Kami turut mendapat sokongan Kementerian Pelancongan‚ Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dalam penganjuran kali ini yang mendapat penyertaan daripada pereka tempatan.

“Selain sari‚ pereka juga bakal menampilkan pelbagai rekaan menggunakan tekstil batik seperti baju dan gaun yang boleh digayakan dalam majlis khas mahupun untuk tujuan komersial dalam meraikan tradisi tempatan‚” ulasnya.

Bkay yang juga Presiden PPPFM turut meluahkan rasa gembira dan bersyukur kerana akhirnya sebuah persatuan untuk peniaga fesyen di negara ini berjaya ditubuhkan sekali gus memberikan amanah kepada dirinya untuk mengetuainya.

“Saya menghargai sokongan dan kepercayaan yang diberikan dan akan berusaha melakukan yang terbaik dalam usaha memastikan industri fesyen di negara ini terus berkembang.

“Pelbagai agenda juga sudah diatur termasuk bengkel dan sesi perbincangan bagi mengeratkan hubungan sesama pemain industri dalam bidang berkaitan serta mencari peluang menjalinkan usaha sama.

“Kami juga merancang untuk menghasilkan sebuah dokumentari penghasilan batik di Malaysia. Bukan sekadar mendekati pencanting batik di Pantai Timur‚ tetapi juga mengetengahkan mereka yang menghasilkan batik di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) dan banduan penjara Malaysia‚” ujarnya.

Khidmat banduan

Apa yang menarik‚ Bkay atau nama sebenarnya Tryambikay Vengades mengangkat hasil kerja banduan serata penjara termasuk di Kajang dan Machang.

“Kelainan MHS2024 yang dijadualkan pada 23 November yang menjadi fokus utama ialah 6 Yards of Beauty di mana pakaian sari daripada tekstil batik iaitu antara warisan dan identiti negara kita.

“Saya dalam usaha mendapat-kan hasil tangan batik daripada banduan di beberapa penjara negara ini sebagai sokongan dan tarikan memandangkan mereka turut menghasilkan batik yang sangat tinggi nilai seninya.

“Kenapa banduan? Mereka sebenarnya belajar di bengkel vokasional. Bila terjual semua kain ini akan masuk ke gaji mereka.  Dalam masa sama‚ sebenarnya ramai yang tidak tahu ada butik dalam Penjara Kajang.

“Mereka (banduan) memang sudah mempunyai ilmu‚ jadi rekaan saya serahkan kepada mereka dan secara tidak langsung menjadikan mereka pereka fesyen‚” katanya ketika sesi sidang media The Malaysia Heritage Showcase di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bkay juga menjelaskan bahawa‚ sudah ramai pihak yang menempah hasil rekaan banduan-banduan ini.

“Saya ada berurusan dengan pihak penjara melibatkan pemilihan kain dan sudah tentu perbincangan tentang pertunjukan fesyen yang bakal berlangsung.

“Saya sudah melihat sebahagian hasil kreativiti sari batik yang mereka hasilkan dan ia sangat mengagumkan. Setaraf pereka fesyen profesional.

“Apabila saya kongsi gambar-gambar batik tersebut‚ ramai yang ingin tempah dan beli. Ini terbukti rekaan fesyen atau sentuhan mereka sangat hebat‚” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas