Berita

Sanusi mohon maaf kepada Sultan Selangor

- Diterbit 25 September 2024 6:30 PM MYT

MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor membuat permohonan maaf kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Permohonan maaf tersebut dikemukakan susulan kenyataannya yang mempertikai kewibawaan Institusi Kesultanan Selangor dalam pemilihan Menteri Besar.

“Patik, Muhammad Sanusi Md Nor, Menteri Besar Kedah dengan penuh hormat dan takzimnya merafak sembah memohon keampunan kepada Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, di atas kenyataan patik pada 11 Julai 2023 di Taman Selayang Mutiara dalam Daerah Gombak, Selangor seperti telah dipertuduhkan terhadap patik di mahkamah yang dianggap menghina dan tidak menghormati Tuanku Sultan Selangor.

“Patik menyedari kata-kata patik menimbulkan rasa tidak selesa dan mengguris hati dan perasaan Tuanku dan patik benar-benar kesal atas segala kesan negatif yang telah timbul daripada kenyataan patik tersebut,” katanya dalam satu sidang media di Wisma Darul Aman hari ini.

Tambah Muhammad Sanusi, beliau tidak berniat untuk mempersenda serta mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan ketika berada di negeri orang khususnya Selangor.

“Patik ingin menyembah maklum kepada Tuanku bahawa tiada niat di hati patik untuk mempersendakan Tuanku yang amat patik hormati dan sanjungi selama ini.

“Patik sedar apabila berada di Negeri selangor, patik tidak seharusnya mengeluarkan kata-kata yang tidak beradab, menghina dan tidak sopan seperti mana yang telah patik perkatakan walaupun ucapan tersebut dibuat ketika suasana kehangatan kempen pilihan raya.

“Oleh itu, dengan penuh rasa insaf dan rendah diri, patik memohon beribu keampunan kepada Tuanku Sultan Selangor serta Menteri Besar Selangor dan rakyat Selangor atas segala keterlanjuran kata-kata patik,” ujarnya.

Menteri Besar Kedah itu turut berjanji akan lebih berhati-hati ketika memberi kenyataan pada masa hadapan.

“Patik berjanji akan lebih berhati-hati dalam mmebuat kenyataan pada masa akan datang dan akan memastikan bahawa setiap ucapan patik adalah selaras dengan adab sopan, budaya melayu kita yang sentiasa menjunjung tinggi Raja-Raja Melayu dan Institusi Raja,” katanya.

Muhammad Sanusi dikatakan menyentuh mengenai perkenan Sultan Selangor, berkaitan pelantikan Menteri Besar Selangor.

Susulan itu, pelbagai pihak membuat laporan polis termasuk yang menyifatkan menghina institusi beraja di Selangor.

Beliau kemudian telah disiasat bagi kesalahan berkait ucapan berbaur 3R iaitu kaum, agama dan raja. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas