Berita

Sampai bila sindiket penyeludupan beras akan berleluasa?

- Diterbit 23 Disember 2020 2:59 AM MYT

BELI pada harga murah dari negara luar seperti Thailand dan Vietnam, bawa seludup masuk melalui ‘lorong-lorong tikus’ di sempadan negara, kemudian menjual kembali pada harga standard beras import iaitu sekitar RM2.60 sekilogram dan keatas.

Itu antara taktik yang digunapakai sindiket beras seludup atau tidak sah dari negara luar.

“Melalui penjualan secara haram ini juga mereka mampu mengaut keuntungan besar,” demikian menurut Ketua Koordinator Badan Bertindak Selamatkan Industri Padi Beras (Padi Rescue) Nurfitri Amir Muhammad kepada Bernama baru-baru ini.

Isu penyeludupan beras dari luar negara bukanlah sesuatu yang baharu sebaliknya terdapat banyak laporan media sebelum ini yang membongkar modus operandi kegiatan sindiket berkenaan.

Menurut laporan sebuah portal berita tempatan sekitar awal tahun ini, harga beras seludup dari Thailand mencecah sehingga RM48 bagi setiap pek beras 10 kilogram, iaitu meningkat sebanyak RM16 daripada harga biasa.

 

DIJUAL SECARA TERBUKA

 

Mengulas lanjut Nurfitri Amir berkata melalui sumber maklumat yang diterima, sindiket terlibat turut membawa masuk beras seludup menerusi kapal-kapal kontena di pelabuhan dengan menggunakan Permit Import (AP).

“Sumber maklumat turut mendakwa dengan menggunakan satu AP, sindiket boleh membawa masuk barang secara berlebihan dan ini biasanya berlaku di pelabuhan dan pintu sempadan.

“Bagaimana sindiket ini secara berleluasa boleh menjual beras ‘haram’ dalam pasaran negara dengan jumlah yang banyak? Secara logiknya agak mustahil untuk mereka menjual kepada pengguna selain daripada tempat-tempat seperti pasaraya, kedai-kedai runcit dan para vendor,” katanya sambil menambah komoditi import itu kini dijual secara terbuka di pasaran.

Memetik laporan media tempatan pada 24 September lepas, Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Azman Mahmood berkata, pihaknya merampas sebanyak 227 kampit beras import bernilai RM34,000 yang disimpan di sebuah rumah kedai di Pandan Mewah, di sini.

Menurut beliau sindiket berkenaan masuk melalui pintu masuk utama negara membawa pelbagai jenis beras untuk memenuhi permintaan.

“Hasil siasatan mendapati, perkara itu berlaku kerana mereka mendakwa kononnya beras ini lebih baik kualitinya daripada yang diimport. Ia juga satu taktik melariskan jualan sedangkan beras yang diimport oleh Padiberas Nasional Bhd (Bernas) sebenarnya lebih berkualiti,” katanya dalam laporan itu yang turut menjelaskan kesalahan yang dilakukan adalah mengikut Perkara 8(a) Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Pemborong dan Peruncit) 1996.

 

PENDAPATAN PESAWAH TERANCAM

 

Apa yang berlaku secara tidak langsung menggambarkan sindiket penyeludupan beras dari luar negara bukan sahaja menjejaskan industri padi dan beras negara serta pengeluaran tempatan ia bahkan turut berisiko mengancam keselamatan negara.

Turut berkongsi pandangan, Ahli Majlis Profesor Negara Prof Dr Mohd Fauzi Mohd Jani berkata selagi sindiket penyeludupan beras secara haram tidak ditangani selagi itulah kedudukan keselamatan negara akan terancam kerana ianya boleh mengundang kepada gangguan ekosistem dan pendapatan golongan pesawah padi yang terlibat.

“Mengapa kita perlu segera membanteras habis-habisan sindiket ini? Melihat kepada situasi semasa pandemik COVID-19 yang kita sendiri tidak tahu bila akan berakhir, kebanyakan negara pengeluar dan pengeksport beras akan ‘bermain’ secara selamat bagi memastikan bekalan beras untuk rakyat mereka mencukupi berikutan perdagangan antarabangsa yang agak terbatas.

“MAFI mensasarkan Tahap Sara Diri (SSL) (pengeluaran beras dalam negara) mencapai 75 peratus dan ini merupakan satu tindakan proaktif. Namun, dengan kebergantungan kita kepada beras import sebanyak 25 peratus serta isu sindiket beras seludup yang masih belum selesai, pendapatan pesawah padi akan terus terancam jika isu ini berlarutan,” katanya.

Ujar beliau pendapatan pesawah terjejas dengan kehadiran sindiket seludup beras yang memanipulasi pasaran jualan beras apabila menjualnya di kedai-kedai runcit kecil dan pasar malam pada harga yang jauh lebih rendah berbanding harga beras tempatan.

“Sindiket penyeludupan beras ini telah lama berlaku dan mereka juga mahir selok-belok perniagaan untuk melariskan jualan. Tindakan ini merupakan suatu kesalahan di sisi undang-undang kerana mereka yang terlibat cuba mengelak daripada dikenakan cukai (kerana menjual beras secara tidak sah),” tambahnya.

 

TUBUH JAWATANKUASA 

 

Berpendapat usaha menangani sindiket penyeludupan beras boleh dilaksanakan dengan meningkatkan penghasilan padi dan beras negara, Mohd Fauzi berkata MAFI antara lain boleh menubuhkan satu jawatankuasa bertindak yang disertai pemain industri sektor padi seperti Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dan persatuan pesawah bagi memastikan keperluan golongan itu dapat diurus tadbir dengan lebih baik dan sistematik.

“Menerusi jawatankuasa bertindak ini kita juga boleh selaraskan keperluan mereka melalui peruntukan Belanjawan 2021 di mana kerajaan memperuntukkan 1.7 bilion subsidi, bantuan dan insentif bagi tujuan membantu petani dan nelayan. Ini termasuklah subsidi harga padi RM570 juta, subsidi dan insentif tanaman padi RM960 juta serta subsidi baja padi bukit yang diperkenalkan semula sebanyak RM40 juta.

“Pihak Bernas dan rangkaian mereka juga boleh mempertimbangkan untuk menambah lebih banyak kilang menyimpan stok-stok beras agar bekalan beras sentiasa mencukupi terutama ketika negara berhadapan pandemik COVID-19. Sekurang-kurangnya kita perlu ada jaminan bekalan beras untuk tempoh tiga atau enam bulan kehadapan.

“Tadbir urus yang lebih sistematik bukan saja diperlukan dalam bidang pengeluaran padi tetapi juga sub sektor pengeluaran beras (pengilang padi). Mereka perlu meningkatkan produktiviti melalui teknologi tinggi (intensif dan berintegrasi) serta pengurusan yang lebih berkesan bagi tujuan meningkatkan penghasilan keluaran dan juga penjimatan kos berikutan faktor keterbatasan kawasan tanaman negara,” jelasnya.

Beliau pada masa sama turut mencadangkan agar kerajaan dapat mempertingkatkan tahap pendigitalan data berkaitan industri tanaman padi menerusi Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) ke arah negara menuju Revolusi Industri 4.0 (IR4.0).

“Pemantauan terhadap keadaan penawaran dan penggunaan beras dan padi semasa perlu dilaksanakan untuk tindakan kementerian sebagai sistem penggera ‘amaran awal’ bagi mengenalpasti sebarang kemungkinan bencana yang berisiko menggugat keselamatan makanan.

“Pusat pemantauan digital pasaran padi dan beras negara juga perlu dibangunkan dengan kerjasama kumpulan pakar tempatan untuk menganalisis dan mengemukakan tindakan susulan yang boleh diambil oleh pihak berkuasa,” katanya.

 

ISU INTEGRITI, KETIRISAN

 

Sementara itu, penganalisis jenayah Datuk Akhbar Satar berkata insiden penyeludupan yang berlaku turut berkait rapat dengan isu integriti dan ketirisan dalam kalangan anggota yang bertugas.

“Kita baru bercakap soal beras dan barang subsidi negara yang diseludup, belum isu besar seperti seludup dadah, pemerdagangan manusia dan senjata api. Bagi saya masalah ini amat besar dan memerlukan penyelesaian secara holistik kerana kesan dan bahayanya kepada negara.

“Kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) diharap dapat terus mempertingkat usaha menaik taraf kaedah pemantauan di sempadan.

“Zaman sekarang dah ada teknologi dron yang boleh membantu agensi penguatkuasa. Selain penggunaan kamera litar tertutup (CCTV), mungkin boleh cari alternatif lain untuk kita pantau ataupun tutup semua ‘laluan tikus’ yang wujud di sempadan negara khususnya di sempadan Malaysia dan Thailand,” katanya.

Selain mencadangkan agar pihak berkuasa menempatkan pegawai-pegawai yang berintegriti tinggi di kawasan-kawasan berisiko tinggi untuk diceroboh termasuklah di sempadan, beliau berpendapat pertukaran pegawai setiap tiga tahun sekali wajar dilakukan bagi mengelakkan risiko terpengaruh dengan amalan tidak sihat seperti rasuah. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas