JABATAN Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) menegaskan sambutan Tahun Baharu Cina yang dianjurkannya baru-baru ini bertujuan memperkukuh ikatan perpaduan dan silaturahim masyarakat majmuk di negara ini.
Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee berkata, ia adalah sebahagian peranan yang dimainkan oleh agensi-agensi hal ehwal Islam untuk menyebarkan rahmah dan mesej keharmonian kepada masyarakat.
“Penganjuran Majlis Jalinan Muhibbah Madani sempena Tahun Baru Cina yang akan berlangsung pada 16 Februari bertempat di Dewan Hokkiean, Klang, Selangor adalah program anjuran JAKIM dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) Islam seperti Persatuan Cina Muslim Malaysia (MACMA), Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) dan Hidayah Centre Foundation (HCF).
“Ia juga mendapat kerjasama pihak berkuasa agama Islam negeri iaitu Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS),” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Beliau menambah, program seperti itu telah dianjurkan setiap tahun oleh JAKIM untuk menyantuni masyarakat yang menyambut Tahun Baru Cina.
“Semua pihak adalah dipohon untuk tidak mempolemikkan isu ini sehingga boleh menjejaskan usaha pengukuhan perpaduan. Marilah kita saling menyokong ke arah memperkukuh keharmonian negara madani,” katanya. – WILAYAHKU