Berita

Sambutan Hari Warga Emas WP KL: Beri kesedaran fenomena penuaan

ANTARA aktiviti yang diadakan sempena Sambutan Hari Warga Emas di Institut DBKL.
- Diterbit 23 Oktober 2024 10:19 AM MYT

BERSEMPENA sambutan Hari Warga Emas Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan rakan strategik menjayakan Program Advokasi Kasih & Budi bagi menyantuni warga emas.

Diadakan di Institut DBKL Bandar Tun Razak, Kuala Lumpur, perasmian program berkenaan disempurnakan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Noraini Ahmad.

Selain DBKL, program berkenaan turut mendapat sokongan Jabatan Kesihatan serta Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) dan badan korporat lain.

Dalam ucapan perasmiannya, Noraini berkata program tersebut bertujuan memberi kesedaran kepada semua pihak terhadap fenomena penuaan dan menyemai sikap saling mengasihi antara pelbagai lapisan masyarakat.

Katanya, tanggungjawab menyantuni warga emas adalah tanggungjawab semua demi kesejahteraan golongan tersebut.

“Penuaan produktiviti memberi peluang kepada warga emas untuk menyumbang kepada pembangunan negara dalam pelbagai perspektif termasuk aktiviti kerjaya,” katanya.

Beliau turut merujuk kepada unjuran dibuat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2009 yang menyatakan Malaysia akan mencapai status negara menua 2030.

Justeru katanya, program advokasi ini merupakan satu inisiatif yang menarik dalam usaha memupuk kesedaran mengenai isu dan cabaran penuaan.

Hadir sama Timbalan Pengarah Kanan, Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL, Ahmad Ibnu Sina Termizi dan Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif merangkap Ahli Lembaga Pemegang Amanah YWP, Dr Abdul Basir V. Kunhimohamed. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas