Berita

Saiz deposit, pendeposit Tabung Haji meningkat kepada 9.54 juta pada Disember 2024

- Diterbit 18 Februari 2025 11:51 AM MYT

KEDUDUKAN kewangan Lembaga Tabung Haji (TH) terus kekal kukuh bagi empat tahun berturut-turut sejak tahun 2020 hingga 2023 menerusi pengumuman agihan keuntungan pada kadar 3.10 peratus iaitu melebihi kadar simpanan 12 bulan perbankan Islam dan keuntungan tersebut diagihkan setelah zakat dilunaskan bagi pihak pendeposit.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata pengumuman agihan keuntungan bagi tahun 2023 juga telah dibuat setelah penyata kewangan TH selesai diaudit dan ini merupakan pencapaian yang penting bagi TH.

Katanya, agihan keuntungan kepada pendeposit untuk sesuatu tahun itu juga diisytihar berdasarkan prestasi dan kedudukan semasa kewangan TH.

“Agihan Keuntungan adalah hasil aktiviti pelaburan yang berpandukan disiplin Alokasi Aset Strategik (SAA) yang dirangka berasaskan tahap toleransi risiko yang bersesuaian demi menjaga kemampanan portfolio pelaburan TH.

“Saiz deposit dan jumlah pendeposit juga telah meningkat dari RM75.9 bilion dan 8.97 juta pendeposit pada 31 Disember 2020 kepada RM91.7 billion dan 9.54 juta pendeposit pada 31 Disember 2024, mencerminkan keyakinan tinggi masyarakat terhadap TH,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Idris Ahmad (PN-Bagan Serai) pada sesi jawapan menteri (MQT) di parlimen hari ini.

Beliau berkata TH telah mengambil beberapa langkah untuk memastikan pengurusannya terus cekap dan berdaya saing.

” Sebagai langkah penambahbaikan pentadbiran bagi jangka masa pendek, pada tahun 2021, TH telah melancarkan Rangka Kerja Pengawasan (TH Stewardship Framework) berlandaskan Maqasid Syariah sebagai asas kawalan tadbir urusnya.

“Pada tahun 2022, TH telah melancarkan pelan strategik HIJRAH24 sebagai strategi pengukuhan prestasi untuk jangka masa sederhana bagi memastikan TH kekal berdaya saing dan bersedia untuk masa depan.

“HIJRAH24 mengandungi 24 inisiatif yang telah dilaksanakan sepanjang tiga tahun bermula 2022 hingga 2024. Lima teras utama pelan ini termasuk pengurusan haji yang cemerlang, menjana pulangan dan lebihan aset yang mampan, meningkatkan simpanan yang stabil, memupuk modal insan terbaik, dan menerapkan prinsip Maqasid Syariah,” katanya.

Katanya, selari dengan mandat penubuhannya, TH komited untuk memastikan dana pendeposit kekal selamat dan dilindungi dalam jangka masa yang panjang.

“TH sentiasa berusaha untuk menjana pulangan yang stabil dan mampan sejajar dengan selera risiko pelaburannya yang sederhana,” kata beliau.

Mohd Na’im berkata bagi perancangan masa hadapan, TH komited untuk terus memacu transformasi organisasi secara berterusan, bagi mencapai status sebagai sebuah organisasi berprestasi tinggi dan mampan.

“Sehubungan itu, bagi memperkukuhkan lagi pelan jangka masa sederhana, Pengurusan TH akan melancarkan FAITH27: Pelan Strategik TH 2025-2027 dengan kesinambungan beberapa inisiatif daripada HIJRAH24 berserta inisiatif-inisiatif baharu ke arah matlamat yang dituju.

“Objektif pelan ini adalah untuk mengemudi TH ke arah mencapai kemampanan kewangan dan menjadikannya sebagai sebuah institusi kewangan islam yang unggul dan berprestasi tinggi, bagi terus berkhidmat berdasarkan mandat yang diberi,” katanya.-WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas