Berita

Saifuddin yakin Abdul Aziz cemerlang galas jawatan Komisioner Jeneral Penjara

- Diterbit 18 Februari 2025 5:30 PM MYT

MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yakin pelantikan Datuk Abdul Aziz Abdul Razak sebagai Komisioner Jeneral Penjara bermula 14 Februari lalu dapat digalas dengan penuh dedikasi.

Beliau berkata Abdul Aziz juga diyakini akan terus komited melakukan reformasi kepada perkhidmatan dan pengoperasian Jabatan Penjara Malaysia.

“Tahniah saya ucapkan Abdul atas pelantikan beliau sebagai Komisioner Jeneral Penjara.

“Sebagai Komisioner Jeneral Penjara yang baharu, saya percaya beliau akan terus komited menggalas amanah besar ini dengan penuh dedikasi dan akan membawa reformasi kepada perkhidmatan dan pengoperasian Jabatan Penjara Malaysia,” katanya di Facebook.

Beliau juga berharap Abdul Aziz melaksanakan amanah besar itu dan Jabatan Penjara Malaysia terus melakar kejayaan serta mencipta impak yang positif.

Katanya, bukan sahaja kepada penghuni penjara, tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhannya.

Dalam tempoh 35 tahun dalam perkhidmatan, Abdul Aziz pernah memegang pelbagai jawatan penting seperti Pengarah Penjara Bentong, Pengarah Bahagian Dasar Kepenjaraan dan Timbalan Komisioner Jeneral Penjara (Pemasyarakatan).

Abdul Aziz berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Ekonomi Sumber daripada Universiti Putra Malaysia (UPM), Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (LLB) Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Sarjana Sastera Universiti Malaya (UM). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas