RANG Undang-Undang Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 (RUU ILTIZAM) yang diluluskan baru-baru ini menzahirkan pendekatan menyeluruh dan strategik yang merentasi sektor dan agensi, bagi memperkukuh sistem pentadbiran dan kawal selia kerajaan.
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam kenyataannya berkata kelulusan tersebut menandakan satu landasan baharu dalam usaha pembaharuan struktur dan operasi sektor awam, demi memperkasa penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan perniagaan.
“JPA bertindak sebagai peneraju utama dalam merangka, menyelaras dan merealisasikan pelaksanaan RUU ILTIZAM, dengan sokongan erat daripada agensi kerajaan lain serta Kementerian Ekonomi dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC).
“RUU ILTIZAM ini digubal bagi menangani birokrasi berlebihan, memansuhkan prosedur lapuk dan menyusun semula proses kawal selia yang telah membebankan rakyat serta komuniti perniagaan.
“Ia memberi tumpuan kepada peningkatan kecekapan pentadbiran dan penyampaian perkhidmatan; pengurangan kos urus niaga dan masa yang hilang akibat proses yang tidak produktif; pengukuhan tadbir urus berteraskan integriti dan ketelusan dan memacu pertumbuhan ekonomi melalui ekosistem yang mesra perniagaan dan responsif,” katanya.
Menurut kenyataan itu lagi, usaha ini akan menyaksikan pelaksanaan perkhidmatan yang lebih pantas, mesra pengguna dan mudah diakses, serta memperkukuh kerjasama antara sektor awam dan swasta bagi menjayakan aspirasi Malaysia MADANI.
“RUU ILTIZAM bukan sekadar pindaan dasar, ia adalah lambang perubahan budaya kerja dan nilai dalam sektor awam, demi mencipta impak jangka panjang terhadap kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara,” katanya.
Terdahulu RUU ILTIZAM telah diluluskan sebulat suara oleh Dewan Rakyat pada 6 Mac dan Dewan Negara pada 25 Mac 2025. – WILAYAHKU