Berita

Rusuhan di Mozambique: Wisma Putra hubungi 20 rakyat Malaysia secara berkala

- Diterbit 26 Disember 2024 3:00 PM MYT

WISMA Putra sedang memantau kekacauan serta rusuhan yang berlaku di Mozambique, terutamanya di kawasan bandar termasuk ibu negara, Maputo dari semasa ke semasa.

Menurutnya, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pretoria sentiasa berhubung secara berkala dengan 20 rakyat Malaysia yang menetap di Mozambique melalui Konsul Kehormat di negara itu.

“Tiada rakyat Malaysia yang dilaporkan terjejas dengan situasi tersebut.

“Walau bagaimanapun Suruhanjaya Tinggi Malaysia terus memantau keadaan di sana dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Jelas Wisma Putra, rakyat Malaysia yang berada di Mozambique atau memerlukan bantuan dinasihatkan untuk mendaftar dengan Suruhanjaya Tinggi melalui E-Konsular.

Mereka juga katanya, perlu memastikan sentiasa berkomunikasi dengan pihak kedutaan untuk sebarang tindakan lanjut.

“Rakyat Malaysia yang tidak mempunyai keperluan mendesak untuk ke Mozambique disarankan untuk menangguhkan rancangan perjalanan mereka pada masa ini,” tegasnya.

Wisma Putra menambah, untuk rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh hubungi Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Pretoria di No. 1007, Francis Baard Street, Arcadia, Pretoria 0083 atau hubungi +27(12)3425990 atau e-mel [email protected].

“Kementerian Luar Negeri kekal komited untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan rakyat Malaysia di luar negara dan akan memberikan kemas kini sekiranya perlu,” katanya.

Terdahulu berpuluh-puluh orang terbunuh dalam keganasan berkaitan pengesahan rasmi keputusan pilihan raya di Mozambique sejak Isnin lalu. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas