KERAJAAN menyatakan kesediaan untuk menyambung semula rundingan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan Kesatuan Eropah (EU) yang tertangguh sejak 2012.
Kementerian Luar Negeri memberitahu, untuk itu kerajaan telah meratifikasi penyertaan United Kingdom (UK) dalam Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP).
Menurutnya, ia sekali gus menjadi perjanjian perdagangan bebas dua hala pertama antara Malaysia dengan UK.
“Malaysia turut mempunyai perjanjian dengan negara-negara Persatuan Perdagangan Bebas Eropah (EFTA) termasuk Switzerland, Norway, Iceland dan Liechtenstein melalui Perjanjian Perkongsian Ekonomi Malaysia-EFTA (MEEPA).
“Rundingan MEEPA telah memasuki pusingan ke-16 pada sesi rundingan yang diadakan dari 4 hingga 8 November lalu di Geneva,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.
Kementerian itu menjawab soalan Senator Pele Peter Tinggom mengenai bagaimana Malaysia memastikan hubungan dan pelaburan dengan negara luar tidak terjejas memandangkan geopolitik dunia semakin mencabar.
Jelasnya, Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat sentiasa mengamalkan dasar luar yang berteraskan prinsip berkecuali, pragmatik dan tidak berpihak untuk mengekalkan hubungan diplomatik yang seimbang.
Katanya, kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS), China dan EU menyertai mekanisme-mekanisme utama dua hala yang diwujudkan Malaysia dengan negara lain.
“Meskipun berhadapan dengan cabaran geopolitik global termasuk situasi di Gaza, Lubnan, dan Ukraine, hubungan perdagangan dan pelaburan Malaysia dengan negara-negara seperti AS, China, dan Eropah kekal berada pada tahap yang cemerlang.
“Sebagai contoh, dalam tempoh Januari 2023 hingga Jun 2024, dua negara Eropah iaitu Belanda dan Austria telah merekodkan pelaburan terbesar dan kedua terbesar di Malaysia, diikuti oleh AS dan China.
“Hal ini mencerminkan keyakinan komuniti antarabangsa terhadap kestabilan dan daya tarikan ekonomi Malaysia,” katanya.
Kemneterian itu menambah, AS merupakan salah satu rakan strategik terpenting Malaysia.
Pada tahun lalu katanya, AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dengan nilai dagangan dua hala berjumlah RM250.25 bilion (AS$54.82 bilion).
“Amerika Syarikat juga merupakan sumber utama kepada pelaburan langsung asing Malaysia dengan jumlah RM100.84 bilion (AS$22.09 bilion) pada tahun yang sama.
“Hubungan Malaysia dan China berada pada tahap yang baik. Pada tahun ini, kedua-dua negara menyambut ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik. Selain itu China merupakan rakan dagang terbesar bagi Malaysia selama 15 tahun berturut-turut sejak 2009,” katanya.
Tambahnya, pada tahun lalu China merekodkan nilai perdagangan RM450.84 billion dan merupakan salah satu pelabur yang terbesar bagi Malaysia, di mana pelaburan China di Malaysia sejak 1980 hingga 2023 adalah berjumlah RM74.2 bilion.
Katanya, perkembangan-perkembangan ini secara langsung mengukuhkan keyakinan pelabur asing, memperluas integrasi pengeksport Malaysia ke dalam rantaian bekalan global dan secara langsung meningkatkan daya saing negara secara signifikan. – WILAYAHKU