Berita

Rumah Prihatin sumbangan holistik

PSPJ yang disediakan membuka peluang ahli keluarga pesakit COVID-19 memberi penghormatan
- Diterbit 23 Julai 2021 7:22 AM MYT

BERPUSAT dan dikoordinasi, semestinya bantuan yang disumbangkan kerajaan, badan korporat mahupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta persendirian mudah disalurkan kepada golongan sasar secara holistik.

Malah, RumahPrihatin@GrandSeasons yang kini dijadikan markas bagi menempatkan keenam-enam elemen utama bantuan kepada warga Wilayah Persekutuan bukan hanya beroperasi dengan lancar sepertimana matlamat penubuhannya, tetapi turut membuka peluang kepada golongan muda menambah pengetahuan menerusi penubuhan Sukarelawan Prihatin (PriVo).

Segelintir masyarakat juga berpandangan supaya kerajaan negeri menjadikan penubuhan hotel kebajikan itu sebagai model sekali gus membantu memperkasakan rakyat Malaysia.

PSPJ mudahkan pengurusan jenazah

PUSAT Pengurusan Krisis COVID-19 (CCMC) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur menubuhkan pasukan pengurusan jenazah bersepadu yang melibatkan 15 agensi.

Pengerusinya yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri TPr Annuar Musa berkata, menerusi Pusat Sehenti Pengurusan Jenazah (PSPJ) itu, keseluruhan keperluan dalam pengurusan jenazah akan disediakan.

“PSPJ ini yang akan menyediakan kemudahan memeriksa, mengurus, menyimpan dan mengkebumikan mayat di Kuala Lumpur.

“Melalui PSPJ, jenazah COVID-19 dan bukan COVID-19 (akan) diurus secara lebih efisien, dipengerusikan bersama oleh HKL (Hospital Kuala Lumpur) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL),” ciapnya dalam laman Twitter.

Beliau berkata, pihaknya juga akan membentuk pasukan petugas khusus dengan menggabungkan 15 agensi berkaitan.

“‘Task force’ ini akan berpusat di HKL dan menggunakan Kompleks Institut Sukan Negara (ISN) (Stadium TPCA). Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) dan pihak rumah ibadat berkaitan menjadi ahlinya.

“Jenazah Islam disemadikan di Perkuburan Taman Selaseh dan bukan Islam menggunakan krematorium DBKL di Cheras. PSPJ itu nanti akan mengutamakan kebajikan keluarga dan memberi peluang kepada keluarga untuk memberikan penghormatan terakhir,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, prosedur operasi standard (SOP) yang sesuai untuk keluarga dan ruang solat jenazah turut disediakan di samping menambah kira-kira 10 buah kontena sebagai persiapan jika berlaku lonjakan kes kematian.

PENGALAMAN BAHARU

MUHAMMAD
RIDZUWAN

Sementara itu, salah seorang sukarelawan yang terlibat dalam PSPJ, Muhammad Ridzuwan Shahul Hamid, 30, berkata, dia sangat gembira kerana berpeluang menyertai pasukan berkenaan kerana dapat cuba bidang baharu selain menimba pengalaman mengendalikan jenazah wabak.

Katanya, walaupun pengorbanan itu mendapat halangan daripada ibu tercinta, namun dia tetap kuatkan semangat untuk membantu masyarakat yang memerlukan tanpa rasa sebarang kekesalan.

“Mak juga adalah bekas pesakit COVID-19, sebab itu dia halang saya menyertainya. Selepas dijelaskan hasrat untuk menyertai pasukan sukarelawan, mak beri restu walaupun terpaksa.

“Di sini, saya dapat belajar cara uruskan jenazah COVID-19. Ia perlu dilakukan dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat termasuk pemakaian alat pelindungan diri (PPE) sebanyak dua lapis,” jelas anak kedua daripada tiga beradik itu.

Dia yang juga salah seorang ikon belia sayangi haiwan turut mengucapkan terima kasih kepada Menteri Wilayah Persekutuan kerana menyediakan platform untuk anak muda berbakti kepada masyarakat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas