Berita

Rumah musnah dalam kebakaran, tujuh keluarga terima bantuan JWP

NORIDA (dua dari kanan) menyantuni mangsa-mangsa yang terlibat dalam insiden kebakaran di Jalan Jinjang Permai pada 21 Oktober lalu.
- Diterbit 26 Oktober 2023 11:10 PM MYT

Oleh HAZIRAH HALIM

INSIDEN kebakaran yang memusnahkan empat buah rumah dan melibatkan tujuh keluarga di Jalan Jinjang Permai, Jinjang Utara pada 21 Oktober lalu amat memilukan.

Simpati dengan keadaan tersebut, Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menghulurkan bantuan ihsan berupa wang tunai serta barangan keperluan harian kepada setiap keluarga yang terkesan susulan kebakaran tersebut.

Ketua Pengarah JWP, Datuk Norida Abdul Rahim berharap bantuan tersebut dapat mengurangkan beban mangsa dalam mengharungi cabaran itu.

“Kita akan turut menyediakan rumah transit secepat mungkin kepada kesemua keluarga yang terlibat dengan mengambil kira beberapa faktor utama termasuk persekolahan anak mereka,” ujarnya sambil menyatakan kesemua mangsa kehilangan harta benda termasuklah tempat tinggal.

Beliau berkata, pihaknya juga bersetuju menyediakan pengangkutan ke pusat perubatan bagi golongan berisiko seperti orang kurang upaya (OKU) dan mangsa yang memerlukan rawatan secara berkala.

“Kita faham masalah yang ditanggung kesemua mangsa kebakaran ini dan sedia membantu meringankan beban mereka termasuk menyediakan penempatan transit.

“Bagaimanapun, lokasinya perlu diteliti supaya persekolahan anak mereka tidak terjejas jika lokasinya jauh dari kawasan penempatan sementara sekarang di Pusat Pemindahan Sementara (PPS), Kompleks Sukan Seri Delima, Jalan Kuching,” katanya selepas Majlis Penyerahan Bantuan Ihsan kepada setiap keluarga mangsa kebakaran di PPS tersebut pada Selasa.

Turut hadir semasa sesi serahan dan tinjauan, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh dan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng.

Dalam pada itu, JWP turut mengalakkan semua pihak untuk bersama-sama membantu mangsa kebakaran ini seiring dengan nilai Ihsan Malaysia MADANI.

Pada sesi tersebut, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut menyerahkan bantuan makanan, minuman dan barangan keperluan asas kepada keluarga mangsa kebakaran.

Terdahulu, mangsa yang terlibat terdiri daripada 15 orang dewasa, tujuh warga emas, lapan kanak-kanak, tiga OKU dan seorang bayi berjaya diselamatkan tanpa sebarang kecederaan.

Walau bagaimanapun, hanya sebuah keluarga ditempatkan di PPS berkenaan manakala tiga lagi keluarga memilih untuk menetap di luar iaitu di rumah rakan atau saudara-mara. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas