RADIO Televisyen Malaysia (RTM) terus memainkan peranan dalam menyampaikan mesej dan agenda negara kepada masyarakat.
Pengarah Penyiaran Labuan, Aminah Samsudin Mohd berkata, tema sambutan RTM pada tahun ini ialah ‘Terus Unggul’ menunjukkan jenama RTM masih diterima rakyat.
“RTM terus berusaha mengekalkan kedudukan dalam dunia penyiaran sebagai penghubung antara kerajaan dan masyarakat. Begitu juga LabuanFm yang telah 36 tahun ke udara di pulau ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat lalu.
Aminah berkata, sempena Hari RTM ke-76, pelbagai program di lokasi dan siaran radio diatur bagi memeriahkan sambutan di Labuan. Antaranya program radio di lokasi iaitu Kempen Derma Darah dan Berkayak Ke Pulau Papan 7.6 kilometer.
Selain itu, program-program khas yang disiarkan di radio ialah Kuiz 76 Tahun, Tik Tok Challenge, Tagal Bersama Otai, Bamukun 76 minit Tanpa Henti, Pertandingan Pantun dan Quran Time.
“Acara kemuncak adalah Sambutan Hari RTM Ke-76 telah berlangsung di Laman Paadian dengan pelancaran Pasukan Sukarelawan Tindak Balas Pertahanan Awam (CDERT) Keluarga Malaysia, Pelancaran Program Ramadan,” katanya. – WILAYAHKU