PROGRAM Road To Gold (RTG) terus memperkukuh iltizam negara memburu emas di pentas dunia apabila seramai 13 atlet kebangsaan secara rasmi menandatangani perjanjian komitmen bagi edisi 2025 satu langkah penting ke arah meningkatkan prestasi dan sokongan menyeluruh kepada atlet elit negara.
Menurut Unit Komunikasi Korporat, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), penyenaraian dan pemilihan atlet ini dibuat dengan teliti menerusi permohonan rasmi daripada jurulatih serta persatuan sukan, termasuk rundingan langsung bersama atlet.
“Program RTG bukan sekadar menyasarkan kejayaan jangka pendek, tetapi turut memberi penekanan kepada pembinaan ekosistem sokongan prestasi yang mapan. Kami yakin atlet yang terpilih memiliki kapasiti dan tekad untuk mengharumkan nama negara di pentas antarabangsa,” jelas KBS dalam kenyataan media hari ini.
Antara atlet yang telah mengesahkan penyertaan ialah jaguh badminton negara Aaron Chia dan Soh Wooi Yik, pasangan beregu wanita Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan, serta beregu lelaki Man Wei Chong dan Tee Kai Wun. Turut menyertai ialah gandingan campuran Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei.
Dalam disiplin lain, Mohd Aniq Kasdan (angkat berat), Mohd Shah Firdaus Sahrom dan Nurul Izzah Izzati Mohd Asri (berbasikal), serta ratu skuasy negara Sivasangari Subramaniam turut menandatangani komitmen.
Sementara itu, program Fast Track menyaksikan penyertaan bakat muda dalam sukan memanah iaitu Ariana Nur Dania, Syaqiera Mashayikh dan Nurul Azreena Fazil.
“Kita mahu menyediakan sokongan menyeluruh dari segi kejurulatihan, kemudahan, pemulihan, hingga ke aspek psikologi.
“Komitmen atlet hari ini adalah permulaan baharu dalam fasa persiapan menjelang kejohanan utama dunia,” menurut kenyataan itu lagi.
Bagaimanapun, empat pemain badminton profesional iaitu Goh Sze Fei, Nur Izzuddin Rumsani, Goh Soon Huat dan Shevon Lai, masih belum mengesahkan penyertaan disebabkan kekangan pertandingan serta jadual perjalanan. Status penyertaan mereka akan dimuktamadkan selepas pertemuan bersama Sekretariat RTG dalam masa terdekat.
Pihak RTG turut menghormati keputusan pemain profesional Lee Zii Jia yang memilih untuk tidak menyertai program berkenaan atas pertimbangan peribadi.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh disalurkan ke Unit Komunikasi Korporat Kementerian Belia dan Sukan di talian 03-8871 3100 atau melalui e-mel [email protected]