Berita

Rosnani Jamil lancar buku autobiografi dalam bahasa Inggeris

- Diterbit 5 November 2024 10:51 AM MYT

SENIWATI lagenda, Datuk Rosnani Jamil, 89, melancarkan buku autobiografinya dalam versi bahasa Inggeris From Sungai Geringging to the City of London: An Intimate Potrait of a Movie Star bagi memenuhi permintaan peminat bukan Melayu.

Rosnani pada majlis pelancaran bukunya baru-baru ini berkata, buku yang sebelum ini pernah diterbitkan dalam bahasa Melayu dengan judul Dari Sungai Geringgit ke Kota London pada 2019 itu diterjemahkan peminat warga Malaysia yang menetap di Washington DC, Amerika Syarikat (US), Mariam Ash’ari Becker.

“Mariam sudah membaca buku dalam bahasa Malaysia dan dia amat menyukai buku itu sehingga menitiskan air mata. Jadi dia minta izin untuk terjemahkan buku itu ke bahasa Inggeris.

“Saya menyambut baik cadangannya kerana selepas buku dalam versi bahasa Melayu dilancarkan, ramai rakan Cina dan rakan yang bersuamikan lelaki Inggeris ingin tahu mengenai buku itu. Selepas Mariam terjemahkan buku itu, dia kata yang kita perlu terbitkan dalam bahasa Inggeris. Malah dia juga sanggp berkorban apa saja untuk realisasikan.

“Kami kemudiannya berkumpul dan alhamdulillah terjadilah juga projek ini dengan usaha saya bersama kawan-kawan dan keluarga,” katanya.

Buat masa ini buku From Sungai Geringging to the City of London: An Intimate Portrait of a Movie Star dicetak sebanyak 500 naskah. Atas sambutan mengalakkan, cetakkan kedua akan dicetak tidak lama lagi.

Menurut Rosnani, penerbitan buku itu katanya secara tidak langsung dapat membantu orang luar mengetahui mengenai dunia filem Melayu. Selain itu, juga katanya pembaca dapat mengenalinya dengan fakta yang tepat.

“Banyak buku mengenai Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang ditulis tapi satu pun tak betul. Allahyarham Tan Sri Jins Shamsuddin tulis sendiri bukunya dan saya juga menulis sendiri. Jadi apa kejadian yang berlaku adalah benda yang betul,” ujarnya.

Menurut Rosnani, pencapaian diraihnya sejak awal pembabitan dari 1952 sebagai anak seni hingga berjaya menerbitkan buku autobiografi bukanlah mudah.

“Bukan hendak cakap besar, tapi di antara rakan-rakan di Jalan Ampas sejak era 1950-an sampai sekarang, saya satu-satunya yang menceburi pelbagai bidang selain lakonan seperti mengarah dan menerbitkan filem.

“Saya juga sambung pengajian ke luar negara terbitkan buku dan sekarang ada dalam versi bahasa Inggeris. Pencapaian ini bukan mudah, sebaliknya memerlukan sokongan daripada kenalan terdekat yang memang suka dengan apa saya buat.

“Mereka juga percaya saya mampu, jadi apa sahaja kejayaan saya kecapi adalah berkat kawan-kawan dan keluarga,” kata Rosnani yang pernah melanjutkan pengajian dalam bidang perfileman di London pada 1970 selama dua tahun. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas