KEPUTUSAN meninggalkan kumpulan Hyper Act menyebabkan ramai menyangka hubungan bekas vokalisnya Ronnie Hussein, 44, dengan anggot yang lain dingin.
Menyangkal tuduhan itu, Ronnie sebaliknya menjelaskan hubungan dengan anggota Hyper Act masih baik malah mereka pernah mengadakan konsert bersama-sama tahun lalu.
Menurut Ronnie, keputusan meninggalkan kumpulan itu dibuat berikutan timbul isu bersama pihak pengurusan bukan kerana perselisihan faham dengan anggota Hyper Act.
“Ramai ingatkan kami bergaduh, padahal tidak pun. Sebaliknya perselisihan hanya berlaku dengan pihak pengurusan yang lama
“Saya dengan anggota Hyper Act masih lagi baik dan kami juga masih berhubung, malah kami pun pernah buat konsert bersama tahun lalu.
“Bagi saya tidak ada isu pun, sebab kami memang tidak bergaduh pun,” katanya yang ditemui pada sidang media Konsert Dadali ‘Sebuah Kisah’ Volume 1 Live in Kuala Lumpur 2025, semalam.
Sejak meninggalkan kumpulan itu 10 tahun lalu, Ronnie akui lebih selesa meneruskan kerjaya nyanyian secara solo.
Katanya lagi, sekiranya hatinya terpanggil untuk bergerak kembali secara berkumpulan, dia ingin bekerja dengan musisi baru.
“Saya lebih senang naik dengan band baru tapi kalau ada kumpulan lama nak mengundang untuk berkolaborasi, tak ada masalah pun cuma saya hanya ingin terbabit dalam projek khas saja.
“Saya menolak menyertai kumpulan yang dah dikenali bukan sebab rasa diri bagus, tapi penanda aras yang akan diletakkan adalah tinggi. Jadi lebih baik bekerja dengan orang baru dan kita sama-sama gilap nama,” katanya lagi.
Sementara itu, Ronnie bakal menjayakan Konsert Dadali ‘Sebuah Kisah’ Volume 1 Live in Kuala Lumpur 2025 yang berlangsung di Zepp, pada 5 Julai depan sebagai artis jemputan.
Konsert anjuran Ultimate Teamworks Malaysia, Ultimate Media, dan BIZCreations turut mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia dan kempen Visit Malaysia 2026.-WILAYAHKU