SALAHKAH kalau kerajaan sentiasa berusaha untuk kebaikan rakyat? Salahkah kerajaan lakukan perubahan demi masa depan kita semua? Perubahan untuk kebaikan, kenapa ia dituduh gagal?
Ramai yang dilihat tidak bersyukur apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan perubahan kabinet demi kesejahteraan rakyat. Adakah perubahan itu merupakan satu kegagalan?
Pelbagai tuduhan tidak enak bertebaran di laman sosial sejak perubahan Kabinet di bawah pimpinan PMX sedangkan rombakan tersebut bertujuan untuk memastikan setiap kementerian dapat ditadbir dengan lebih berkesan.
Sepatutnya kita semua ambil maklum, dalam Islam pun ada digalakkan umatnya untuk melakukan hijrah atau perubahan demi kebaikan bersama. Itulah yang dilakukan oleh Anwar yang sentiasa memberi tumpuan penuh kepada rakyat sejak diberi tanggungjawab tersebut setahun yang lalu.
“Saya harap insya-Allah (kekal) sekiranya prestasi baik dan memuaskan selain tiada tekanan atau masalah baru seperti isu transformasi digital,” kata beliau menerusi sidang akhbar rombakan Kabinet, baru-baru ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai sama ada kerajaan akan membuat rombakan tahunan berdasarkan prestasi semasa menteri dan timbalan menteri memandangkan perubahan itu dilakukan selepas setahun pentadbiran Kerajaan Madani.
Katanya, rombakan Kabinet dibuat bertujuan untuk memberi sedikit penyesuaian selepas setahun pentadbiran Kerajaan Madani.
“Keadaan juga perlu berubah seiring perkembangan ekonomi, permasalahan rakyat dan kos sara hidup yang harus ditangani dengan baik.
“Isu pendidikan, pendidikan tinggi terutama dalam urusan meneroka bidang baharu seperti kecerdasan pintar (AI) dan transformasi digital menyebabkan saya berfikir semula untuk membuat sedikit sebanyak penyesuaian sesuai keadaan dan tuntutan semasa,” katanya.
Beliau berkata perbincangan mengenai rombakan Kabinet itu dilakukan bersama ketua parti sebelum senarai nama dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenan.
Rombakan Kabinet menyaksikan seorang menteri dan dua timbalan menteri digugurkan iaitu bekas Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar selain Ramkarpal Singh dan Datuk Siti Aminah Aching.
Secara keseluruhan, jumlah Jemaah Menteri kini meningkat daripada 28 ke 31 orang manakala jumlah timbalan menteri pula meningkat dari 27 ke 29 orang. – WILAYAHKU