SEBANYAK RM99 juta diperuntukkan bagi melaksanakan inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) bersama Kementerian Pertahanan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, inisiatif termasuk mewujudkan infrastruktur fiber optik di semua 73 kem atau pangkalan yang terlibat, melibatkan sebanyak 59,420 pintu Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT).
“Kita mahu menambah baik perkhidmatan liputan selular sedia ada di dalam pelbagai kawasan RKAT.
“Kita mensasarkan untuk menyediakan perkhidmatan Internet dengan kos yang rendah terutama kepada warga Kementerian Pertahanan dan anggota tentera khususnya anggota lain-Lain pangkat yang juga dikategorikan sebagai golongan B40,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Peluncuran Inisiatif Perajurit Broadband di Auditorium Kementerian Pertahanan.
Hadir sama, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.
Pada masa sama, beliau turut melancarkan Inisiatif Perajurit Broadband yang menyediakan pakej langganan harga mampu milik serendah RM49 dengan kelajuan 100 Mbps.
“Harga yang murah ini adalah satu pengiktirafan dan cara Kerajaan Perpaduan menghargai jasa serta pengorbanan warga ATM dalam memastikan kedaulatan negara terus terpelihara,” katanya.
Sementara itu, Fahmi berkata, ia merupakan satu langkah yang dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dalam menyelesaikan masalah kesaling hubungan yang dihadapi oleh warga ATM.
Katanya, penyediaan dana sebanyak RM99 juta oleh SKMM bagi tujuan itu akan dapat melengkapkan jalur lebar ke rumah dan dijangka membantu lebih 55,000 pintu bagi rumah-rumah anggota tentera dengan menyediakan Internet berkelajuan 100 mbps.
Beliau turut memaklumkan ada memohon peruntukan tambahan kepada SKMM untuk memberikan harga khas sebanyak RM39 selama enam bulan.
“Usaha ini adalah fasa pertama dan seterusnya kita akan meneliti prasarana infrastruktur jaringan komunikasi markas Pejabat Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera melibatkan liputan dalaman dan luaran termasuk fibre dan wifi.
“Jadi ini kita laksanakan dalam fasa kedua..ada angkanya tapi saya minta SKMM meneliti dan kita jangka keseluruhan proses pelaksanaan akan mengambil masa 18 ke 24 bulan dan kita telah mulakan dan lebih rancak pada Januari 2025,” katanya. – WILAYAHKU