Berita

RM5 kadar zakat fitrah di Wilayah Persekutuan

- Diterbit 7 April 2021 4:36 AM MYT

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menetapkan tiga kadar zakat fitrah tahun ini iaitu RM5, RM7 dan RM14 mengikut kemampuan pembayar di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad berkata, kadar itu dipersetujui Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syara’ Wilayah Persekutuan.

Beliau berkata, kadar wajib RM5 ditetapkan untuk meringankan beban umat Islam kurang berkemampuan menunaikan kewajipan itu ketika pandemik Covid-19.

“Dua lagi kadar adalah RM7 dan RM14 ditetapkan kepada mereka yang berkemampuan serta mahu membayar zakat fitrah secara gandaan mengikut jenis beras yang dimakan.

“Bayaran zakat fitrah melebihi kadar minimum adalah digalakkan secara sukarela dan tanpa paksaan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Ihya’ Ramadan dan Watikah Pelantikan Ketua Amil serta Amil Zakat di Masjid Wilayah Persekutuan.

Dalam majlis itu, seramai 73 ketua amil dan 83 amil yang dilantik menerima watikah pelantikan masing-masing.

Zulkifli berkata, kebiasaan MAIWP akan mengutip antara RM10 juta hingga RM15 juta zakat fitrah setahun untuk diagihkan kepada golongan asnaf dan fakir miskin.

Dalam pada itu, Zulkifli mengesahkan beliau akan ke Mekah pada 16 April ini bagi membincangkan lebih terperinci mengenai jumlah kuota haji dan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan Arab Saudi kepada jemaah Malaysia.

Beliau juga dijangka meninjau pelbagai kemudahan dan persiapan Arab Saudi untuk menerima jemaah umrah termasuk dari Malaysia yang akan ke tanah suci pada Ramadan ini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas