Berita

RM47.7 juta dana zakat berjaya diagihkan kepada asnaf di Labuan

MOHD NA’IM (empat dari kanan, belakang) bersama para penerima bantuan asnaf pada Program Kembara Kasih Asnaf 2023 di Dewan Homestay Kampung Sungai Labu baru-baru ini.
- Diterbit 19 Oktober 2023 8:00 PM MYT

Oleh KHAIRUL IDIN

MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) telah mengagihkan dana zakat sebanyak RM47.7 juta kepada golongan asnaf di Labuan sehingga September menerusi pelbagai program dan inisiatif bantuan tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada jumlah RM60.1 juta untuk agihan zakat serta pemerkasaan dan kesejahteraan asnaf bagi tahun 2023.

“Jumlah peruntukan yang cukup besar ini mencerminkan kesungguhan MAIWP di Labuan dalam membantu mereka yang kurang bernasib baik meneruskan kehidupan seharian.

“Ini dibuktikan sehingga bulan September 2023 MAIWP terus komited dan bersungguh-sungguh untuk turun padang menjejaki para asnaf.

“Ia adalah peluang terbaik untuk kita mendengar secara langsung masalah yang dihadapi oleh masyarakat setempat dan mencari penyelesaian yang terbaik,” katanya kepada pemberita pada program Kembara Kasih Asnaf 2023 di Dewan Homestay Kampung Sungai Labu baru-baru ini.

Mengulas lanjut beliau­ berkata beberapa kejayaan yang telah dicapai oleh MAIWP dalam memperkasakan kehidupan asnaf di Labuan adalah Program Perumahan Asnaf di Ganggarak Permai yang telah menelan belanja peruntukan sebanyak RM33.83 juta untuk 140 unit rumah asnaf.

“MAIWP telah merancang pelbagai aktiviti dan program dengan hasrat untuk membantu golongan asnaf membangunkan sosio ekonomi umat Islam melalui program keusahawanan penanaman cendawan.

“Selain itu, MAIWP sentiasa berjuang dalam memperbanyakkan usaha-usaha kebajikan sosio ekonomi melalui Pelan Strategik MAIWP 2021 hingga 2025.

“Ini terbukti dengan projek pembinaan Kompleks Sekolah Menengah Agama (SMA) MAIWP Labuan di Kampung Sungai Bedaun bernilai 53.8 juta dengan kapasiti 600 pelajar dan dijangka siap dalam tempoh tiga tahun,” katanya lagi.

Terdahulu pada Program Kembara Kasih Asnaf, beliau berkesempatan menyampaikan beberapa bantuan khas kepada golongan asnaf.

Hadir sama Ahli Majlis MAIWP Datuk Anwari Suri; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan MAIWP dan Pengurus MAIWP Labuan, Md Fadzli Md Saad. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas