DEWAN Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) perlu menanggung kos pengurusan sebanyak RM260 juta setahun untuk Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di bawah kendaliannya.
Menurut Pengarah Jabatan Pembangunan Komuniti dan Kesejahteraan Bandar DBKL, Zulkifli Muhamad, kos tersebut merupakan perkhidmatan pembersihan, selenggara bangunan, lif dan sebagainya melibatkan keseluruhan 61,504 unit di 67 kawasan PPR dan PA di seluruh Kuala Lumpur.
“Masalah utama yang kita hadapi adalah hanya 30 peratus daripada 39,180 unit sewa yang menjelaskan sewa sebanyak RM124 sebulan tanpa sebarang tunggakan.
“Selain itu, baki sebanyak 19,659 atau 53 peratus mempunyai tunggakan dengan pelbagai alasan serta sengaja tidak mahu membayar sewa kepada DBKL dan untuk unit sudah dijual pula, pemilik sengaja culas melunaskan bayaran penyelenggaraan berjumlah RM45 sebulan,” katanya kepada Wilayahku.
Katanya, DBKL telah mempunyai Pelan Penyelenggaraan PPR/PA untuk tempoh 10 tahun dan ia perbelanjaan melaksanakan pelan tersebut menelan lebih RM500 juta dan mempunyai dua fasa.
“Pada tahun ini, kami akan belanja RM50 juta yang merangkumi kerja-kerja mengecat, menukar tangki dan pam air, menukar lif, buat pendawaian baharu dan ia telah pun ditenderkan dengan menawarkan 19 kerja bagi memenuhi sasaran pelan untuk tahun ini.
“Jika tidak dilaksanakan, ia akan menambah kerosakan sedia ada kerana kemudahan yang ada telah usang dan rosak serta kesemuanya sudah mencecah 20 tahun. Malah di PA Seri Selangor dan Flat Loke Yew, generator sudah berumur 40 tahun dan sukar untuk mencari alat ganti.
“Kita mahu PPR dan PA ini cantik dan selamat untuk penduduk di sana,” katanya.
Menurut Zulkifli, sepatutnya bayaran sewaan yang berjaya dikutip akan dikumpulkan di dalam Kumpulan Wang Perumahan (KWP) yang mana depositnya kini mencecah RM2.9 bilion.
“Jika hendak membelanjakan untuk kos pengurusan PA/PPR ini, ia mesti datang daripada sumbernya iaitu KWP dan sepatutnya dana itu bertambah supaya dapat menampung kerja-kerja penyelenggaraan.
“Tetapi dengan prestasi kutipan sewaan yang rendah dan dana semakin kurang, DBKL perlu menambah dan menyerap kos-kos berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, menerusi jumlah penyewa sedia ada, DBKL sewajarnya mampu mengutip sewaan sebanyak RM57 juta setahun, namun ia tidak dapat dicapai kerana sikap penyewa itu sendiri.
“Ada seorang penyewa, dia daripada pemindahan setinggan dan sepanjang hampir dua dekad ini, hanya sekali dia bayar sewa dan tunggakannya mencecah RM26,000.
“Ada kakitangan yang pergi untuk menuntut tunggakan, penyewa tersebut akan bertindak provokasi dan itu menyebabkan tunggakan itu semakin meningkat selain dia memberikan pelbagai alasan kerana perpindahan itu bukan yang dimahukannya,” katanya sambil menambah pihaknya telah mengambil tindakan mengunci air dan mengusir penyewa tersebut.
Zulkifli menasihatkan kepada penyewa sekiranya mempunyai tunggakan yang banyak, boleh datang untuk berbincang bagi mencari jalan penyelesaian.
“DBKL akan bantu dengan menstrukturkan semula supaya bayaran dapat dibuat. Yang penting datang ke DBKL dan berbincang untuk menjadualkan semula.
“Mungkin bayaran yang dikenakan hanya RM124 sebulan sebelum ini, kita mungkin minta mereka bayar RM200 bagi mempercepatkan tunggakan itu selesai.
“Jika didapati selepas daripada peluang untuk perbincangan penjadualan semula tidak mendapat sambutan, kami akan teruskan tindakan mengunci air. Jika itu tidak menyelesaikan masalah, maka tindakan akhir adalah menamatkan kontrak dan mengusir mereka,” katanya. – WILAYAHKU