Berita

RM200,000 bina dinding penahan, penduduk Tanjung Aru Nelayan lega

KEADAAN tembok konkrit binaan penduduk kampung yang musnah kerana hakisan pantai yang serius
- Diterbit 26 Februari 2024 7:40 PM MYT

PENDUDUK Kampung Tanjung Aru Nelayan kini menarik nafas lega apabila isu hakisan pantai yang membelenggu sejak dua dekad lalu mendapat perhatian Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) sekali gus meluluskan peruntukan bagi menangani isu tersebut.

Menurut Ketua Kampung Tanjung Aru, Harun Damit, kejadian hakisan pantai telah memusnahkan sebahagian besar kawasan pesisir pantai dan tanah penduduk kampung.

“Kerisauan penduduk lebih kepada keselamatan rumah mereka selepas menyedari hakisan pantai telah mula menghampiri. Isu ini telah lama kami suarakan kepada pelbagai pihak berwajib demi keselamatan penduduk dan kelestarian alam.

“Kini kami amat gembira dan bersyukur kerana kerajaan menerusi JWP telah meluluskan peruntukkan sebanyak RM200,000 bagi menangani isu hakisan di pantai ini,” ujarnya menghargai usaha Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Salah seorang penduduk, Nordin Kadir berkata, pelbagai usaha dan ikhtiar telah dilakukan mereka untuk menangani masalah hakisan yang tiada penghunjungnya.

“Kami pernah membina tembok konkrit namun tembok itu tidak bertahan lama disebabkan hakisan pantai yang agak serius. Sebelum ini terdapat dua buah gazebo konkrit, tiga pondok kecil, padang bola sepak serta pangkalan nelayan yang dibina namun telah musnah.

“Dengan peruntukan yang diberikan ini, kami berharap isu hakisan dapat sekali gus membantu para niaga kecil di pantai ini. Usaha ini bertepatan dengan konsep Malaysia Madani yang mahu memacu pertumbuhan pelbagai aspek yang positif,” katanya mewakili penduduk kampung menzahirkan ucapan terima kasih kepada Zaliha.

Sementara itu Zaliha dalam lawatan kerja selama tiga hari ke

Labuan baru-baru ini menyatakan peruntukan sebanyak RM200,000 telah disalurkan kepada Perbadanan Labuan bagi pembinaan dinding penahan bagi menyelesaikan isu hakisan pantai berhampiran gerai makanan di Kampung Tanjung Aru Nelayan.

Jelasnya, masalah itu telah dikenal pasti menerusi Kajian Hakisan Pantai Negara (NCES) yang dikendalikan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran pada 2015.

“Isu ini telah menyebabkan hakisan sepanjang satu kilometer sehingga menjejaskan tanah milik penduduk yang tinggal berdekatan kawasan pantai.

Sebelum ini, penduduk telah berusaha membina dinding penahan sementara daripada batu dan simen tetapi malangnya, ia rosak semasa ribut kencang melanda.

“Peruntukan ini bertujuan mengawal hakisan pantai sekali gus melegakan peniaga dan orang awam yang terkesan akibat isu berterusan yang berlaku berhampiran tapak aktiviti perniagaan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas