Berita

RM2 bilion peruntukan hal ehwal Islam

- Diterbit 18 Oktober 2024 6:57 PM MYT

KERAJAAN bercadang memperuntukkan RM2 bilion sebagai usaha untuk meningkatkan syiar Islam dan mencegah pemikiran dan aliran yang menyimpang daripada Islam yang sebenar berlandaskan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang kini semakin membimbangkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebahagian daripada peruntukan tersebut turut digunakan u tuk memperkasa institusi pendidikan Islam.

“RM150 juta dikhususkan untuk menyelenggara prasarana pendidikan Islam JAKIM seperti sekolah pondok, sekolah tahfiz dan sekolah agama rakyat.

“Kerajaan turut bersetuju menambah kuota guru KAFA sebanyak 1,500 orang, selari dengan tuntutan pendidikan fardu ain untuk anak-anak,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2025 hari ini.

Ujarnya, bagi membantu penuntut di Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS), Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) dan Darul Quran JAKIM, Kerajaan bersetuju meningkatkan kadar wang saku penuntut sebanyak RM100 ringgit.

“Kerajaan turut menghargai sumbangan besar lebih 70 ribu guru KAFA, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut, maka Kerajaan bersetuju menyalurkan sumbangan khas RM500 ringgit dengan peruntukan RM35 juta ringgit,” katanya.

Perdana Menteri menegaskan bahawa insiden membakar al-Quran di Sweden dan penentangan terhadap Islam adalah disebabkan sifat kejahilan yang menebal.

“Bagi menyemai kesedaran terhadap Islam, Kerajaan akan meluncurkan ikhtiar wakaf Al-quran dengan niat untuk mencetak sejuta naskhah al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia dengan terjemahan pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris, Sepanyol, Mandarin dan Sweden.

“Usaha ini akan dilaksanakan JAKIM dengan kerjasama pihak seperti Yayasan Restu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata sebagai tanda persaudaraan dan prihatin terhadap nasib warga Palestin, kerajaan telah mengambil pendekatan membawa lebih 40 rakyat Palestin yang memerlukan rawatan kesihatan ke Malaysia.

“Bagi menyokong usaha pengumpulan bantuan atas tanggungjawab bersama, Kerajaan mencadangkan skop pelepasan cukai untuk badan amal di bawah Seksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan diperluas meliputi sumbangan kepada bukan warganegara yang terjejas,” katanya.

Dalam pada itu, susulan Ops Global yang sedang dijalankan, Kerajaan akan menyediakan tambahan RM25 juta ringgit kepada Kementerian Wanita, Keluarga dan Masyarakat bagi menguruskan anak-anak yang teraniaya serta melaksanakan program pemulihan akidah.individubyang terlibat dengan ajaran Global Ikhwan Sdn Bhd. (GISB). – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas