Berita

RM100 juta dana padanan galak inovasi kewangan Islam

- Diterbit 18 Oktober 2024 7:05 PM MYT

KERAJAAN MADANI menyokong usaha dalam penerokaan inisiatif baharu bagi mengangkat sektor kewangan Islam ke tahap lebih adil berlandaskan maqasid syariah selain berupaya menyaingi produk konvensional.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sejumlah RM100 juta dana padanan disediakan bagi menggalakkan inovasi pembiayaan kewangan Islam baharu berasaskan nilai Islam supaya tidak lagi bergantung kepada produk patuh syariah yang mirip konvensional.

“Antara pembiayaan yang diperintiskan termasuklah berasaskan prinsip musharakah yang melibatkan perkongsian risiko dan keuntungan yang adil.

“Kemudahan ini tertumpu kepada projek kewangan iklim termasuk projek keterjaminan makanan dan dilaksanakan dengan padanan dana daripada institusi perbankan Islam dan pelabur swasta,” katanya dalam Belanjawan 2025 hari ini.

Menurut Perdana Menteri, Program i-TEKAD yang ditawarkan 13 bank dan 70 rakan pelaksana telah membantu lebih 8,000 usahawan mikro berpendapatan rendah.

“Tahun hadapan, RM20 juta geran padanan disediakan dengan RM5 juta khusus untuk menyumbang kepada caruman insurans atau takaful bagi usahawan mikro.

“Ini akan dipadankan dengan sumbangan syarikat insurans atau pengendali takaful untuk manfaat peniaga dan penjaja kecil, penghantar barang dan makanan serta peserta Ikhtiar Pendapatan Rakyat yang rosak tanaman akibat bencana,” katanya.

Beliau berkata kerajaan juga menyokong pelaburan berimpak sosial lain termasuk pembiayaan P2P patuh syariah dan pendanaan awam ekuiti di bawah program MyCIF dengan menyediakan geran padanan RM40 juta ringgit.

“Bagi merancakkan kajian dalam bidang ekonomi Islam, sejumlah RM10 juta ringgit diperuntukkan bagi menyokong usaha sama antara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan INCEIF University dalam meningkatkan lagi kefahaman serta pemakaian nilai-nilai universal ekonomi Islam.

“Perkembangan penyelidikan dan pembangunan program akademik akan terus mencambah aplikasi ekonomi Islam dalam pembentukan dasar semasa yang selaras dengan prinsip maqasid Shariah yang adil, inklusif, lestari untuk kemakmuran bersama,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas