KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi memaklumkan sebanyak RM1.4 juta bantuan kewangan disalurkan kepada lapan koperasi komuniti India bagi memperkasa sektor koperasi masyarakat India di negara ini.
Timbalan Menterinya, Datuk Seri R Ramanan berkata bantuan itu diagihkan kepada enam koperasi yang menerima Geran Bantuan bernilai RM175,600.
Menurutnya, dua lagi koperasi menerima Pembiayaan Tabung Modal Pusingan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (TMPSKM) berjumlah RM1.225 juta.
“Insiatif yang yang disediakan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) melalui Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) khusus kepada koperasi komuniti India membuktikan kerajaan begitu serius dan komited untuk membantu komuniti India.
“Ini bagi meningkatkan taraf hidup dan perniagaan koperasi mereka bagi memastikan aktiviti ekonomi koperasi berjalan dengan baik dan dapat memanfaatkan semula koperasi dan anggotanya,” katanya semasa berucap dalam Majlis Penyerahan Cek Cura Geran Bantuan dan Tabung Modal Pusingan (TMPSKM) kepada Koperasi India.
Sementara itu, Ramanan berkata hasil dari Persidangan Koperasi Komuniti India 2024 (PKKI 2024) pada 13 Oktober tahun lalu, terdapat hanya 17 permohonan koperasi telah diterima dengan jumlah permohonan sebanyak RM518,000.
Katanya, ini sememangnya agak rendah jika dibandingkan dengan jumlah lebih 200 koperasi komuniti India yang hadir pada PKKI 2024 yang lepas.
“Dari jumlah itu hanya enam koperasi telah diluluskan bantuan di bawah Program Bakti Madani dengan. Selebihnya masih lagi dalam pertimbangan pihak SKM,” katanya.
Tambahnya sebanyak RM1 juta telah disediakan di bawah inisiatif Bantuan Bakti Madani bagi tahun ini dengan menggunakan dana Kumpulan Wang Amanah Pembangunan (KWAPb) di mana Had maksimum jumlah bantuan adalah sehingga RM30,000 bagi setiap koperasi.
Antara penerima geran bantuan ialah Koperasi Peniaga-Peniaga India Malaysia (RM27,600), Koperasi Nesa Pelbagai Berhad (RM30,000), dan Koperasi Serbaguna Kebangsaan Berhad (RM28,000) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Tiga lagi koperasi dari Perak turut menerima bantuan berjumlah RM30,000 setiap satu ialah Koperasi India Salak Kuala Kangsar Berhad, Koperasi Generasi Berwawasan Perak Berhad, dan Koperasi Guru-Guru Sekolah India Perak Berhad.
Sementara itu, dua koperasi yang menerima pembiayaan TMPSKM ialah Koperasi Serbaguna Pertanian Perusahaan Kemajuan Berhad di Wilayah Persekutuan dengan jumlah RM1 juta dan Koperasi Wawasan Jaya Pulau Pinang Berhad (RM225,000)
Dalam pada itu, Ramanan berkata beliau yang bertanggungjawab untuk menjaga hal ehwal komuniti India turut memaklumkan pihaknya akan mengumumkan inisiatif besar dalam masa terdekat berkaitan bantuan bagi meningkatkan perniagaan di bawah salah satu agensi KUSKOP.
“Dalam masa terdekat akan membuat pengumuman besar untuk komuniti India. Bantuan (akan diberikan itu) membolehkan (mereka) meningkatkan perniagaan,” katanya dalam sidang medianya. – WILAYAHKU