MAJLIS Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) memperuntukkan sejumlah RM1.1 juta ringgit wang zakat kepada golongan asnaf di ketiga-tiga Wilayah Persekutuan.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, wang zakat itu diagihkan kepada 5,500 orang penerima yang layak di Labuan, Putrajaya dan Kuala Lumpur menerusi Program Nur Ramadan 2025.
“Daripada jumlah keseluruhan peruntukan sumbangan Nur Ramadan 2025 ini, sebanyak RM140,000 diagihkan kepada 700 orang asnaf dan golongan miskin di Wilayah Persekutuan Putrajaya.
“Terima kasih kepada MAIWP dan juga hampir dua juta pembayar zakat di Wilayah Persekutuan, kerana tanpa sumbangan mereka, usaha murni ini tidak akan dapat kita realisasikan,” katanya ketika merasmikan Program Nur Ramadan Peringkat Wilayah Persekutuan Putrajaya 2025/1446H di Dewan Seri Siantan, Kompleks Perbadanan Putrajaya hari ini.

Zaliha berkata menerusi Program Nur Ramadan ini, pihak kerajaan dapat menyantuni golongan miskin yang seterusnya dapat meringankan beban golongan ini.
“Diharapkan melalui program ini turut dapat mengeratkan ukhuwah, perasaan kasih sayang dan persaudaraan yang teguh dalam diri setiap individu di Wilayah Persekutuan,” ujar beliau.
Dalam majlis hari ini, Zaliha menyerahkan bantuan wang tunai bernilai RM200 setiap orang kepada 300 asnaf termasuk anak-anak yatim, warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) dan mereka yang kurang berkemampuan.
Manakala baki 400 penerima lagi akan menerima agihan sumbangan secara berperingkat. – WILAYAHKU