JABATAN Kerja Raya (JKR) dilantik sebagai agensi pelaksana bagi menyiapkan projek menaik taraf Fasiliti Pembiakan Spesis Mangsa untuk Harimau Malaya di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL), Gua Musang milik Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).
Projek secara tender itu dibangunkan di atas kawasan seluas 94.073 ekar dengan kos kontrak bernilai RM3.325 juta.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan telah turun padang baru-baru ini bagi meninjau pelaksanaan projek berkenaan.
Menurutnya setakat 1 Mac, projek menaik taraf yang dimulakan sejak 29 Julai lalu telah mencapai status kemajuan projek sebanyak 21 peratus iaitu tiga hari mendahului jadual dan dijangka siap sepenuhnya pada Januari 2026.
“Secara amnya lokasi tapak cadangan ini adalah di dalam kawasan hutan dan berhampiran dengan kuarters PERHILITAN.
“Pusat konservasi ini berpotensi dan sesuai untuk dikelaskan sebagai hutan di mana ia tidak menjejaskan kualiti visual persekitaran dengan reka bentuk asal/semasa serta mengikut keperluan.
“Ini bersesuaian dengan hala tuju Kementerian Kerja Raya (KKR) 2025 yang menekankan pembangunan infrastruktur dilaksanakan menepati piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus (environment, social, governance, ESG) serta mengikut spesifikasi kualiti, kos dan masa yang telah ditetapkan ke arah Sifar Projek Sakit,” katanya.
Skop projek termasuk penyediaan pagar perimeter luar cyclone dan barbed wire sekeliling sempadan kawasan, penyediaan kawasan berpagar cyclone bagi 21 padok termasuk ‘runway’ rusa membabitkan kerja perobohan pagar padok rusa sedia ada, pembinaan menara tinjau dan 47 unit tempat menyorok anak rusa.
Turut dibina ialah kemudahan asas lain seperti fasiliti penyimpanan makanan,palung minuman, tandas, rumah pam serta kerja-kerja mekanikal dan elektrikal.-WILAYAHKU