Berita

Ringgit mengukuh 2.8 peratus berbanding dolar AS

- Diterbit 17 Disember 2024 1:53 PM MYT

MATA wang ringgit mencatatkan pengukuhan sebanyak 2.8 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), setakat 22 November lalu.

Menurut Kementerian Kewangan (MoF), dalam masa yang sama, ringgit juga mengukuh 12.8 peratus berbanding yen selain 12.2 peratus berbanding won diikuti 6.0 peratus (berbanding rupiah Indonesia) dan 4.1 peratus (berbanding baht).

Jelas MoF, prospek positif ekonomi Malaysia dan komitmen kerajaan dalam melaksanakan dasar-dasar di bawah Kerangka Ekonomi MADANI untuk menambah baik prospek ekonomi negara akan terus memberikan sokongan yang berterusan kepada ringgit.

“Kerajaan dan Bank Negara Malaysia (BNM) akan meneruskan tindakan terselaras untuk menggalakkan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat korporat untuk membawa pulang pendapatan pelaburan asing dan ditukarkan kepada ringgit secara konsisten,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Negara.

Kementerian itu menjawab soalan Senator Datuk Shamsuddin Abd Ghaffar mengenai usaha kerajaan ke arah penambahbaikan nilai ringgit.

MoF menambah, tindakan terselaras itu telah menggalakkan aliran dua hala yang lebih kukuh dalam pasaran pertukaran asing domestik yang seterusnya menjurus kepada pengukuhan nilai ringgit.

Katanya, kecairan pasaran mata wang asing telah menunjukkan peningkatan iaitu setakat 22 November 2024, jumlah purata dagangan harian dalam pasaran mata wang asing meningkat daripada AS$15 bilion sebelum tindakan terselaras (antara 29 Disember 2023 hingga 26 Februari 2024) kepada AS$18.1 bilion (antara 26 Februari 2024 hingga 22 November 2024).

“BNM juga akan terus memantau perkembangan dalam pasaran asing dan sentiasa bersedia mengambil langkah campur tangan bagi membendung pergerakan mata wang yang dianggap berlebihan dan memastikan keadaan pasaran kekal teratur,” tambahnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas