BIARPUN sudah empat tahun penyanyi Siti Sarah Raissuddin meninggal dunia, pemergian Allahyarham tetap dalam ingatan semua.
Begitu juga dengan penyanyi Iman Troye atau nama sebenarnya Siti Nur Alyssa Sahabudin, 23, sentiasa merindui arwah yang banyak memberi inspirasi kepadanya dalam membina kerjaya sebagai penyanyi.
Apatah lagi, arwah pernah menjadi penguat semangat buatnya untuk terus bangkit daripada tekanan.
Mengimbas semula, arwah juga pernah hadir ke Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Tasik Puteri, Rawang, Selangor untuk memberi semangat sebelum Iman menjawab kertas Matematik bagi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2019.
“Untuk itu, saya telah merakam semula lagu Kesetiaan pada 2023, nyanyian asal kakak kesayangan, arwah Siti Sarah, sebabnya, saya sangat menghargai dan sentiasa mengenang memori bersamanya.
“Kesetiaan antara lagu kegemaran saya. Disebabkan itu, saya menjadikan rakaman semula lagu ini sebagai penghargaan.
“Bagi yang tidak tahu, arwah memberikan semangat untuk memulakan langkah sebagai penyanyi.
“Saya sempat berguru dan belajar beberapa perkara dengan arwah, Alhamdulillah. Kami kerap juga berjumpa di mana arwah mengajar vokal dan bagaimana nak bina keyakinan berhadapan dengan orang ramai.
“Sebab itu saya sangat terasa pemergiannya, sebab selalunya saya banyak mengadu kepadanya. Kini yang tinggal hanya doa dan rindu,” katanya.
Menyentuh tentang kerjaya, Iman akui selain menyanyi, dia juga sering mendapat tawaran untuk berlakon, sehingga kini Iman lebih senang memberi tumpuan kepada nyanyian dan muzik.
“Sekarang sebagai penyanyi pun, saya belum berada pada tahap stabil dan banyak yang perlu dilakukan lagi. Oleh itu, untuk kembangkan bakat dalam lakonan, tunggu dulu.
“Saya kena mempersiapkan diri dengan ilmu lakonan dulu dan apabila sudah betul-betul bersedia, baru melangkah. Saya tidak mahu tergesa-gesa jadi pelakon kerana sekadar cuba-cuba.
“Lagipun, saya tak mahu digelar atau dikatakan orang sebagai ‘pelakon kayu’ serta apa saja panggilan kurang baik. Saya nak kalau berlakon nanti, penonton yang tengok itu tahu saya memang boleh berlakon,” katanya.
Bercakap tentang pencapaiannya hari ini, Iman tidak nafikan sokongan tanpa jemu para peminat amat dihargainya.
Untuk itu, sempena Aidilfitri tahun ini, Iman muncul dengan album mini berjudul Janji Raya yang menampilkan lima buah lagu raya.
Album terbitan XO House itu memuatkan lagu Raya Ya Ya duet bersama Datuk Aliff Syukri, Salam Salam Lebaran, Selendang Ibunda, Raya Kan kolaborasi bersama Angga Dermawan dari Indonesia dan Janji Happy Hari Raya, duet bersama rakan artis Dalia Farhana, Zubir Khan, Naim Daniel serta Alya Marden. – WILAYAHKU