SEBELUM ini kecoh dalam kalangan peminat apabila penyanyi dan bekas peserta Calpis Soda One In A Million (CSOIAM), Rezza Shah, meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap seorang pengurus artis.
Luahannya di Instagram Note itu membuatkan ramai tertanya-tanya dan beranggapan Rezza Shah atau nama sebenarnya Muhammad Shahrezza Abu Samah, 23, sedang bermasalah dengan pengurusnya yang dikenali sebagai Acu.
“Saya seorang yang suka buat luahan sendiri di Instagram Note. Berkenaan luahan itu, ya saya buat mewakili kawan-kawan artis saya yang terkena menjadi ‘mangsa’ gangguan seksual pengurus mereka.
“Kata mereka, kalau nak job kena ikut apa kemahuan pengurus termasuklah layanan berbaur seksual.
“Saya bercakap bagi pihak mereka dan perlu dijelaskan di sini, pengurus yang buat gangguan seksual itu bukan pengurus saya. Saya nafikan dakwaan yang menuduh pengurus saya Acu cuba goda atau buat gangguan seksual terhadap saya. Itu pengurus artis lain,” tegasnya.
Walau bagaimanapun, Rezza enggan mendedahkan siapa yang dimaksudkannya kerana tidak mahu membuka aib orang lain.
“Siapa artis yang menjadi ‘mangsa’ atau pengurus itu, biarlah saya seorang dan individu tertentu sahaja yang tahu. Seperti yang saya cakap, saya luah di Instagram untuk mewakili mereka. Tidak ada kaitan dengan saya pun.
“Kisahnya, mereka tak berani bersuara apabila terkena gangguan seksual, jadi saya luah dalam media sosial bagi pihak mereka secara umum dan tak ada sebut nama sesiapa.
“Ini bukan gimik atau saja nak raih perhatian. Saya memang bersuara mewakili kawan-kawan artis.
“Alhamdulillah, setakat ini tak ada gangguan seksual yang berlaku pada saya. Acu seorang pengurus yang baik,” katanya.
Bukan itu sahaja, Rezza Shah juga sebelum ini pernah dikaitkan dengan isu disiplin dan mula lupa diri apabila memadam nombor telefon pengurusnya di Instagram.
“Setakat ini saya tak ada apa-apa masalah pun dengan pengurus. Kalau ada yang dakwa saya mula lupa diri dan tidak hargai jasa pengurus, mungkin itu salah faham atau ada yang buat cerita. Hakikatnya saya dan pengurus tiada apa-apa masalah,” katanya.
Sejak nama semakin dikenali, Rezza akui masih berada di fasa awal dan banyak yang harus dicapai. – WILAYAHKU