SEORANG nelayan asnaf di Labuan, mampu mengukir senyuman apabila menerima sebuah bot fiber baharu bernilai RM13,850 bagi menggantikan bot lama yang telah bocor akibat dipukul ombak pada tahun lalu.
Abdul Azis Mutki, 33, menyifatkan bantuan yang disalurkan oleh Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) itu sebagai rezeki keluarganya.
Katanya, dengan adanya bot baharu itu, mampu meningkatkan semula pendapatannya bagi menyara keluarganya.
“Sebelum ini, saya terpaksa berkongsi bot bersama abang saya untuk turun ke laut menangkap ikan.
“Pendapatan yang diperolehi hanya sekitar RM500 sebulan kerana keseluruhan hasil yang diperolehi perlu dibahagikan dan dikongsi kepada dua. Selepas ini dengan bot baharu saya jangka pendapatan akan meningkat kepada RM2,000 sebulan,” katanya.
Majlis penyerahan bantuan itu disampaikan oleh Setiausaha MAIWP, Datuk Mohd Ajib Ismail, baru-baru ini. Hadir sama, Pengurus MAIWP Labuan, Md Fadzli Md Saad.
Pada majlis yang sama, dua orang nelayan iaitu Seruji Bakar, 41, dan Zaini Zaniel, 54, turut menerima sebuah enjin bot baharu masing-masing bernilai RM7,950 dan RM6,050.