Biz

Restoran Salai-Salai disasar terus berkembang, penuhi aspektasi pelanggan

||
- Diterbit 6 Mac 2022 8:37 AM MYT

MEMULAKAN operasi pertama di Taman Medan, Petaling Jaya sekitar Disember 2019, Restoran Salai-Salai yang menyajikan menu hidangan popularnya masak lemak cili api daging salai, begitu pantas berkembang.

Walaupun muncul dalam tempoh yang mencabar akibat penularan pendamik COVID-19, perkara itu tidak menjadi penghalang bagi restoran masakan menu tradisi Melayu, menawan selera pelanggan yang terus bertambah dari sehari ke sehari.

Bagi Pemilik Bersama Restoran Salai-Salai, Datuk Azizulrahman Mohd Hussain Malim, sambutan pelanggan adalah di luar jangkaan malah maklum balas memberangsangkan itu telah mendorong pembukaan cawangan keduanya selepas hanya empat bulan mula bertapak dalam industri.

Beliau berkata, pengoperasian cawangan kedua di Seri Rampai juga memberikan petanda positif seterusnya mula menghidu peluang dan potensi perlu dimanfaatkan terutamanya dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)  ketika itu.

“Sebenarnya ada sedikit rahsia yang mendorong Restoran Salai-Salai mampu berkembang dalam waktu sukar iaitu kami mengambil alih operasi premis perniagaan yang telah gagal meneruskan perniagaan akibat faktor semasa itu.

“Selepas pembukaan restoran pertama kami iaitu sekitar Disember 2019, sambutan diterima amat luar biasa daripada pelanggan lalu munculah idea untuk kembangkan kepada cawangan kedua Mac 2020 diikuti, Shah Alam, Kampung Baru dan yang terkini cawangan kelima di Jalan TAR.

“Kesemua cawangan Restoran Salai-Salai diurus secara sistematik, dengan mengambil alih kedai makan atau restoran yang tidak lagi bermampuan untuk beroperasi, lalu ditambah baik dan dihiasi dekorasi sesuai untuk keselesaan pelanggan.

“Dengan kesungguhan rakan kongsi saya Haji Zin yang berpengalaman dalam F&B serta komitmen tinggi tenaga kerja berpasukan dan menyediakan hidangan sedap pada harga berpatutan ia sesuai untuk seisi keluarga,” katanya ketika pembukaan rasmi cawangan kelima Restoran Salai-Salai di Jalan TAR, Kuala Lumpur.

Prestasi dicatat restoran yang turut menyajikan menu tambahan Western Food selepas 5 petang itu, berkembang positif di dalam tempoh kurang daripada dua setengah tahun sambil diperkuat dengan kira-kira 60 tenaga kerja.

Menurut Azizulrahman, mereka turut mempunyai perancangan untuk mengembangkan lagi operasi Restoran Salai-Salai dengan tumpuan lokasinya sekitar Kuala Lumpur di kawasan berkepadatan tinggi orang Melayu.

Antara lokasi menjadi pertimbangan bagi mereka katanya seperti Jalan Yap Kwan Seng, Subang, Keramat, Damansara dan lain-lain tempat dirasa bersesuaian serta berpotensi berkembang.

“Dalam perniagaan restoran ini, makanan sedap sahaja belum mencukupi, malah ia perlukan jiwa sebagai seorang usahawan, pengurusannya betul dan kaedah pemasaran yang efektif selain harus mengutamakan standard kualiti hidangan.

“Jadi kami ketengahkan tagline ‘Salai-Salai Sedap Mari Lagi’ sentiasa memberi perkhidmatan yang terbaik, bersih dan selesa dengan harga berbaloi untuk semua menu makanan kegeramaran ramai termasuk Itik, daging, ayam, ikan keli dan talapia,” jelasnya yang tidak lokek berkongsi ilmu niaga.

Bagi Azizulrahman, pemasaran dan pengiklanan memainkan peranan penting dalam perniagaan untuk terus berkembang termasuk penggunaan media sosial sebagai saluran hebahan.

Justeru katanya, setiap usahawan perlu memiliki peruntukan khusus pengiklanan sebagai proses memperkenalkan jenama kepada pelanggan dan harus fokus serta mempunyai minat mendalam terhadap bidang perniagaan diceburi.

Azizulrahman sebagai seorang usahawan selain pemimpin setempat khususnya di Titiwangsa, turut mengalu-alukan kalangan usahawan yang berminat untuk datang berbincang dan berkongsi idea serta pengalaman dalam perniagaan sambil bersama membimbing menjadi usahawan jaya.

“Ada sesetengah kita (usahawan) sanggup untuk berbelanja pelbagai perkara, namun tidak mahu keluarkan wang untuk mendapat ilmu berniaga, tidak fikirkan tentang pentingnya pengiklanan untuk dikenali dan berkembang pantas,” katanya. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas