Berita

Resolusi UNSC mengenai Gaza gagal tangani isu penting – MAPIM

KREDIT foto: AFP.
- Diterbit 25 Disember 2023 7:40 PM MYT

MAJLIS Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) hari ini menzahirkan kekesalan bahawa Israel meningkatkan serangan ke atas Gaza walaupun Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) telah menerima pakai resolusi  Jeda Kemanusiaan di Gaza.

Presidennya, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata ini merupakan resolusi yang tidak menampakkan ketegasan dan tidak menangani isu utama iaitu Israel melanggar undang-undang antarabangsa.

“Malah sehari selepas resolusi itu diluluskan, Kementerian Kesihatan di Gaza berkata 166 warga Palestin terkorban, 384 cedera dalam serangan Israel dalam 24 jam lepas.

Resolusi itu tidak bermakna jika serangan Israel tidak dinoktahkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata walaupun resolusi ini mengikat dari segi undang-undang antarabangsa, banyak resolusi Majlis Keselamatan yang mengikat dari segi undang-undang antarabangsa tidak dipatuhi Israel.

Pada Jumaat lepas UNSC meluluskan satu resolusi agar akses kepada bantuan kemanusiaan ke Gaza dipercepatkan, dijamin selamat dan diperluaskan serta mewujudkan suasana sesuai bagi menghentikan kekejaman. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas