Berita

Resolusi Kumpulan Teras disertai Malaysia desak Israel disingkir sebagai anggota PBB

Foto: BERNAMA
- Diterbit 4 November 2024 11:35 AM MYT

RESOLUSI disediakan Kumpulan Teras disertai Malaysia ke Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) mendesak supaya Israel dikeluar dan disingkirkan sebagai anggota badan dunia itu.

Perkara itu ditegaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam sesi penerangan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut beliau, draf resolusi itu sedang dalam proses rundingan dan dijangka dibentangkan di UNGA untuk kelulusan dalam masa terdekat.

“Pada 31 Oktober lalu, Malaysia menyertai Kumpulan Teras bagi penyediaan satu draf resolusi UNGA memohon pendapat nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Ia berkaitan obligasi Israel dalam membenarkan aktiviti dan kehadiran PBB, agensi-agensi di bawah PBB, organisasi-organisasi antarabangsa dan negara ketiga di wilayah pendudukan Palestin (OPT) yang dilaksanakan dengan persetujuan kerajaan Palestin untuk manfaat orang awam Palestin di wilayah itu.

“Draf resolusi ini sedang dalam proses rundingan dan kita akan mengkaji setelah berlakunya pelanggaran hukum supaya Israel dikeluarkan daripada anggota PBB,” katanya.

Anwar memberitahu, sudah setahun, Israel melaksanakan genosid di bumi Gaza.

Katanya, sehingga 1 November lalu, konflik di Gaza telah mengorbankan 43,204 orang rakyat Palestin (termasuk 16,500 kanak-kanak).

“Seramai 101,641 orang rakyat Palestin dilaporkan cedera manakala 11,000 orang lagi dilaporkan hilang. Secara purata 118 rakyat Palestin terkorban dan 277 lagi cedera setiap hari sejak Oktober 2023.

“Situasi di Gaza kini terus meruncing di mana keganasan tanpa henti,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya telah menerima jemputan Raja Arab Saudi untuk menghadiri Sidang Kemuncak Tergempar Bersama Negara-Negara Arab dan Islam pada 11 November ini di Riyadh.

“Oleh yang demikian, kehadiran saya adalah membawa mandat semua, iaitu untuk mengambil tindakan bagi menghentikan kekejaman berterusan Israel ke atas rakyat Palestin.

“Adalah penting bagi Malaysia dan komuniti antarabangsa mengutuk jenayah genosid di Palestin, memberi tekanan ke atas Israel untuk melaksanakan gencatan senjata dengan segera bagi membolehkan bantuan ubat, makanan dan keperluan kemanusiaan lain dihulurkan kepada rakyat Palestin,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas