MALAYSIA menzahirkan kekesalan dan kecewa dengan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang sekali lagi gagal untuk menerima pakai satu resolusi yang bertujuan mengenakan gencatan senjata di Gaza.
Menurut Wisma Putra, ini termasuk bertindak dalam memudah cara penyaluran segera perkhidmatan asas dan bantuan kemanusiaan di wilayah Palestin itu.
“Resolusi ini yang telah mendapat sokongan majoriti anggota Majlis Keselamatan PBB, telah digagalkan melalui penggunaan kuasa veto pada 20 November lalu,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Wisma Putra memberitahu, penggunaan kuasa veto itu mematahkan harapan masyarakat antarabangsa untuk menamatkan jenayah genosid di Gaza.
Malah katanya, ia turut menjejaskan usaha-usaha berterusan untuk mencari jalan penyelesaian kepada krisis tersebut.
“Malaysia menggesa agar Majlis Keselamatan PBB mengambil tindakan yang tegas bagi menamatkan bencana kemanusiaan di Gaza.
“Badan dunia itu perlu melaksana peranan utamanya untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa, mempertahankan prinsip-prinsip asas yang termaktub dalam Piagam PBB dan melindungi kedaulatan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Untuk itu jelas Wisma Putra, Malaysia kekal bersolidariti dengan Palestin dan mengulangi komitmennya yang tidak berbelah bahagi untuk mencari jalan penyelesaian yang aman dan berkekalan dalam isu Palestin. – WILAYAHKU