Berita

ReMeal kekang pembaziran makanan

WAN EMIR (dua dari kiri) serta pengasas bersama ReMeal.
- Diterbit 6 Mac 2025 3:43 PM MYT

MALAYSIA mencatatkan jumlah pembaziran makanan tertinggi berbanding negara maju lain berdasarkan kajian dilakukan beberapa tahun lalu.

Kadar pembaziran makanan lazimnya meruncing setiap kali bulan Ramadan, apabila hampir setiap tempat mempunyai bazar Ramadan yang menawarkan pelbagai jenis juadah.

Secara kasar, setiap individu menyumbang kira-kira 259.82 kilogram kepada pembaziran makanan dan negara kita menyaksikan pelupusan sehingga 17,000 tan sisa makanan setiap hari.

Namun sebahagian besar daripada sisa berjumlah 4,005 tan (24%) masih boleh dimakan.

Melihat trend pembaziran itu mendorong sekumpulan anak muda membangungkan satu aplikasi yang dikenali sebagai ReMeal bagi mengekang pembaziran makanan.

Di Malaysia, aplikasi seperti ini mungkin masih baru tetapi ia sudah lama wujud di luar negara seperti Too Good to Go yang dilancarkan di Eropah pada 2015.

Aplikasi itu kemudian memasuki Amerika Syarikat pada 2020 dan berjaya menyelamatkan lebih 300,000 makanan sehari daripada berakhir di tapak pelupusan.

Tanpa kita sedari kecanggihan teknologi mempunyai banyak manfaat sekiranya diaplikasikan ke arah yang betul.

Pengasas bersama ReMeal, Wan Emir Astar Wan Mohamad Khair-il Anuar berkata ReMeal tercetus daripada kesedaran terhadap masalah pembaziran makanan yang semakin kritikal di Malaysia.

“Setiap hari, beribu-ribu tan makanan dibazirkan, sedangkan masih ramai yang memerlukan.

“Masalah ini menjadi lebih ketara dalam industri F&B, di mana banyak makanan yang masih elok akhirnya terpaksa dibuang.

“Saya dan pengasas bersama melihat ini sebagai satu peluang untuk menggunakan teknologi dalam menangani isu yang melarat ini, dengan harapan ia boleh memberi manfaat kepada masyarakat, perniagaan, dan alam sekitar,” katanya.

Selain Wan Emir, ReMeal turut dipelopori Falah Hamidi, Nur Syafiah dan Anis Suffian.

Menurut Wan Emir ReMeal berfungsi sebagai ‘digital marketplace’ yang menghubungkan perniagaan makanan seperti restoran, bakeri, pasar raya, mahupun hotel dengan pengguna yang ingin mendapatkan makanan lebihan yang berkualiti pada harga lebih rendah.

Makanan yang ditawarkan dalam aplikasi itu juga katanya masih dalam keadaan baik tetapi tidak boleh dijual pada harga asal disebabkan faktor seperti lebihan stok atau tarikh luput yang hampir.

Mengambil masa setahun untuk dibangunkan iaitu pada 2023 dan dilancarkan secara rasmi pada Mei tahun lalu, ReMeal kini mempunyai 16 stor yang aktif dengan lebih 40 lagi vendor dijangka menyertai mereka serta mencatatkan lebih 10,000 pengguna aplikasi.

ReMeal menghubungkan perniagaan makanan dengan pengguna pada harga lebih rendah.

ReMeal kini mempunyai beberapa rakan strategik yang menjadi pelopor di sektor kafe, pasar raya serta hotel.

“Sejak dilancarkan, kami menerima sambutan yang sangat positif daripada pengguna dan rakan niaga.

“Banyak restoran dan kedai makan yang ingin mengurangkan pembaziran tetapi tidak mempunyai saluran yang sesuai sebelum ini.

“Solusi yang kami bawa adalah suatu keperluan yang sangat mendesak untuk industri F&B.

“Kami juga melihat peningkatan kesedaran di kalangan pengguna terhadap kepentingan mengurangkan pembaziran makanan,” katanya.

Sempena Ramadan, Wan Emir tidak menafikan ia satu cabaran besar dalam isu pembaziran makanan terutama di bazar Ramadan.

Katanya pembaziran makanan yang berlaku pada bulan Ramadan juga menjadi salah satu pencetus kepada pembangunan aplikasi ReMeal.

“Pada Ramadan ini kami akan menjalinkan kerjasama dengan MYSaveFood di mana ReMeal berperanan sebagai bantuan digital khususnya, dengan menyediakan platform untuk menguruskan operasi serta meningkatkan kecekapan dan skala.

“Ini sekali gus dapat menggalakkan lebih ramai sukarelawan untuk turut serta dalam usaha ini dengan membantu mengagihkan lebihan makanan kepada komuniti yang memerlukan sepanjang Ramadan.

“Selain itu kami terus melaksanakan kempen kesedaran untuk pengguna dan peniaga bazar tentang pengurusan lebihan makanan dengan lebih baik,” tambah Wan Emir.

ReMeal juga akan bekerjasama dengan pengusaha F&B yang memerlukan pengurusan lebihan makanan dengan baik, bukan saja di kalangan restoran dan kafe, tetapi juga hotel serta agensi kerajaan.

Malah mereka juga mendapat permohonan daripada pihak di luar industri F&B tetapi peduli tentang isu kelestarian dan melihatkan ReMeal sebagai rakan seperjuangan dalam menyelesaikan sektor industri yang lain.

“Matlamat jangka masa panjang kami adalah untuk memperluaskan rangkaian ini supaya lebih banyak pihak dan sektor industri boleh mendapat manfaat sekaligus menguruskan isu kos sara hidup di peringkat komuniti dan memenuhi saranan ESG dan matlamat SDG negara.

“Harapan kami adalah untuk mengangkat agenda #ZeroWaste ini kepada pemain industri serta pengguna dalam membudayakan usaha ini dan mempraktikkan kelebihan teknologi melalui aplikasi ReMeal, semoga usaha bersama ini dapat membawa kebaikan buat kebahagiaan masyarakat serta kelestarian alam sekitar,” katanya.  – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas