Berita

Remaja maut akibat renjatan: Pendawaian elektrik bas ekspres tak teratur

- Diterbit 20 November 2024 2:40 PM MYT

PASUKAN Petugas Khas yang ditubuhkan susulan insiden seorang remaja maut akibat renjatan dalam sebuah bas ekspres pada 1 November lalu mendapati pendawaian elektrik pada bas tersebut adalah tidak teratur.

Menurut Kementerian Pengangkutan, sambungan pendawaian dari keluaran kotak pengagihan (DB) ke pendawaian soket dipasang secara terbalik.

Di samping itu jelasnya, penggunaan kelengkapan elektrik dalam bas tersebut juga tidak memenuhi standard piawaian barangan yang ditetapkan.

“Pemasangan pendawaian elektrik bas juga dilakukan oleh pihak yang tidak bertauliah oleh Suruhanjaya Tenaga (ST),” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dalam insiden pada pukul 7.30 malam itu, mangsa yang berusia 18 tahun maut dengan tangan kirinya melecur akibat terkena renjatan elektrik.

Kejadian berlaku semasa mangsa mengecas telefon bimbitnya pada soket sebuah bas ekspres di Terminal Bas Penang Sentral.

Ekoran kejadian itu, Kementerian Pengangkutan menubuhkan Pasukan Petugas Khas pada 4 November lalu untuk meneliti insiden berkenaan.

Selain ST, pasukan itu dianggotai Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ); Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD); Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS); Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan Puspakom Sdn Bhd (PUSPAKOM).

Kementerian itu berkata, walaupun komponen struktur bas mematuhi pelan teknikal yang diluluskan dan telah lulus pemeriksaan PUSPAKOM pada 20 Mei lalu, namun aspek keselamatan pendawaian elektrik perlu diberi perhatian segera.

Katanya, ini adalah kerana bagi mengelakkan sebarang risiko bahaya yang boleh mengancam keselamatan pengguna. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas