MALAYSIA sekali lagi menegaskan bahawa rejim zionis tidak mempunyai kedaulatan ke atas Negara Palestin yang dijajah, termasuk Baitulmuqaddis.
Demikian ditegaskan Wisma Putra dengan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya apa rang undang-undang Knesset (Parlimen Israel) yang mengharamkan Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) daripada beroperasi di Baitulmuqaddis, Tebing Barat dan Gaza.
Wisma Putra memaklumkan, Malaysia mengutuk tindakan itu sebagai serangan terang-terangan terhadap agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
“Ia merupakan penempelakan serius kepada masyarakat antarabangsa dan kehormatan sesebuah agensi kemanusiaan antarabangsa.
“Rejim zionis Israel tidak mempunyai kedaulatan ke atas Negara Palestin yang dijajah, termasuk Baitulmuqaddis, di mana kehadiran UNRWA diktiraf melalui perjanjian antara Palestin dan PBB,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Menurut Wisma Putra, UNRWA telah ditubuhkan oleh Perhimpunan Agung PBB (UNGA) dan telah memainkan peranan penting dalam menyediakan talian hayat untuk lebih 5.9 juta rakyat Palestin di Palestin dan pelarian Palestin di seluruh Asia Barat.
Katanya, ia juga menyediakan perkhidmatan kritikal dalam pendidikan, perawatan kesihatan dan bantuan kemanusiaan terutamanya semasa konflik yang masih berterusan.
“Apa yang dikatakan rang undang-undang ini seolah-olah berniat menghalalkan tindakan rejim zionis Israel yang sengaja dan jelas melanggar undang-undang antarabangsa untuk menghapuskan UNRWA.
“Ini merupakan sebahagian daripada strateginya untuk menafikan hak rakyat Palestin untuk pulang ke tanah air mereka seperti yang didukung oleh Resolusi UNGA 194.
“Malah ia juga sebagai strategi untuk mendatangkan kebuluran kepada mereka yang terselamat daripada bencana kemanusiaan dan genosid di Gaza,” katanya.
Tambah Wisma Putra, Malaysia kekal teguh dalam komitmennya menyokong UNRWA.
“Masyarakat antarabangsa harus mengambil tindakan yang tegas dan segera terhadap rang undang-undang ini demi melindungi UNRWA dan juga demi menamatkan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin,” katanya. – WILAYAHKU