USAHA memperkasa ekonomi digital luar bandar terus diperkukuh apabila Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meluaskan pelaksanaan Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (Retail Digitalisation Initiative, ReDI) ke seluruh negara, khususnya di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak.
Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata program Kembara ReDI Borneo 2025 yang kini sedang berlangsung membuktikan komitmen berterusan kerajaan dalam membawa manfaat digital kepada rakyat, tanpa mengira lokasi.
“Program kembara ini bukan sekadar pameran atau ceramah kosong, tetapi misi lapangan selama 10 hari yang benar-benar menyantuni peniaga kecil luar bandar dan membimbing mereka masuk ke dalam dunia perniagaan digital,” katanya di Papar hari ini.
Program Kembara ReDI Borneo yang bermula pada 26 Jun 2025 di Sematan, Sarawak, bakal melabuhkan tirainya pada 5 Julai di Tawau, Sabah, dan telah berjaya mencatat jumlah penyertaan yang menggalakkan.
Setakat hari kelima program dilaksanakan, seramai 3,708 peniaga luar bandar di Sabah dan Sarawak telah berdaftar dengan sistem e-dompet yang disokong oleh ReDI.
Sejak ReDI dilancarkan pada 27 Ogos 2022 sehingga 31 Mei 2025, sebanyak 22,368 peniaga seluruh negara telah berdaftar dengan platform e-wallet, jauh melepasi sasaran 15,000 peniaga yang ditetapkan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Daripada jumlah tersebut, 3,229 peniaga telah didaftarkan hanya dalam tempoh lima bulan pertama tahun ini (1 Januari hingga 31 Mei 2025). Negeri Sabah merekodkan 1,120 peniaga berdaftar, manakala Sarawak sebanyak 1,799 peniaga.
“Statistik ini membuktikan bahawa peniaga di luar bandar bukan hanya bersedia, malah dahagakan peluang untuk maju dalam dunia perniagaan digital,” kata Armizan.
Menurut beliau, pelaksanaan ReDI bukan sekadar memperkenalkan teknologi, sebaliknya memberi tumpuan kepada membentuk ekosistem ‘cashless society’ yang lebih menyeluruh dan inklusif, selari dengan aspirasi ekonomi digital negara.
Ujarnya, peniaga dilatih untuk menggunakan pelbagai platform e-wallet seperti Touch ‘n Go eWallet, GrabPay, ShopeePay, MAE Maybank, Boost dan SPay Global, dengan kerjasama strategik Bank Negara Malaysia, PayNet dan syarikat penyedia e-wallet yang berdaftar.
“Melalui ReDI, peniaga dapat mengurus kewangan secara lebih efisien, memperluas peluang pasaran, mempelbagaikan kaedah pembayaran dan mengawal inventori secara sistematik,” jelasnya.
Selain itu, pendekatan lapangan yang mesra rakyat juga membolehkan pegawai KPDN membantu terus di premis perniagaan kecil dan pasar, memastikan tiada peniaga tercicir daripada gelombang pendigitalan ini.
Armizan menyifatkan ReDI sebagai game changer untuk peniaga mikro dan kecil, khususnya dalam landskap peruncitan pasca pandemik.
“Jika dahulu kita lihat teknologi sebagai milik bandar, kini ReDI buktikan bahawa digital adalah untuk semua. Ini bukan sekadar perubahan sistem pembayaran, tetapi perubahan gaya hidup perniagaan rakyat,” katanya.
KPDN akan terus memperluas program Kembara ReDI ke negeri-negeri lain selepas Sabah dan Sarawak bagi memastikan usaha transformasi digital ini benar-benar menyeluruh dan tidak tertumpu di kawasan bandar semata-mata.
“ReDI adalah sebahagian daripada ikhtiar MADANI – memampankan rakyat dengan kemahiran dan peluang baharu, membina ketahanan ekonomi serta menjadikan Malaysia sebagai negara digital yang adil dan progresif,” katanya.—WILAYAHKU