Berita

Redah air selamatkan diri

- Diterbit 18 September 2020 9:02 AM MYT

HUJAN petang yang disangka seperti harihari biasa ternyata sebaliknya. Selepas lebih 40 tahun tinggal di Kampung Periuk Kampung Baru Kuala Lumpur, inilah kali pertama, Agusniwati Abu Bakar, 65, mengalami peristiwa yang hampir meragut nyawanya, Khamis lalu.

Jeritan kakak beliau ketika air semakin deras ekoran hujan lebat mengejutkan Agusniwati yang sedang tidur di bilik sekali gus menyelamatkan nyawanya ketika banjir besar itu berlaku.

Agusniwati berkata, pada mulanya, beliau tidak menyangka hujan akan turun dengan lebat kerana keadaan pada petang itu seperti biasa.

“Beberapa hari sebelum kejadian, memang setiap petang kawasan rumah saya mengalami hujan lebat dan sekiranya banjir kilat, ia hanya pada paras lutut sahaja.

“Namun ketika sedang tidur, kakak saya menjerit kerana air sudah mulai naik hingga paras pinggang dan dalam keadaan panik, saya tidak dapat menyelamatkan apa-apa melainkan sempat membawa keluar dokumen dan sebuah beg yang
berisi beberapa helai pakaian,” katanya kepada Wilayahku di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru pada Sabtu.

Kata Agusniwati lagi, dalam keadaan situasi yang cemas dan arus deras, beliau terpaksa meredah banjir untuk
menyelamatkan diri ke kawasan tinggi.

“Saya dan kakak terpaksa meredah banjir dalam keadaan menggigil kesejukan dan pada ketika itu, air sudah mula melepasi paras dada serta berkemungkinan akan meningkat.

“Arus yang sangat deras itu boleh menghanyutkan kami dan mujur ada beberapa sukarelawan datang menghulurkan
bantuan awal kepada kami,” katanya.

Ujar Agusniwati, sepanjang mendiami Kampung Periuk lebih 40 tahun lalu, ini merupakan situasi yang paling menakutkan kerana arus yang sangat deras selain paras air meningkat dengan cepat.

“Peralatan rumah semua sudah musnah seperti televisyen, almari pakaian, peralatan elektrik dan anggaran kerugian
kira-kira RM30,000.

“Saya berharap agar pihak kerajaan dapat melakukan sesuatu agar kejadian ini tidak berulang,” katanya sambil menambah terpaksa menumpang di rumah saudara kerana belum membersihkan rumah selepas kejadian itu.

Zulkifli Ligan, 40-an berkata, sewaktu kejadian, beliau sedang tidur kerana berkerja pada malam sehari sebelumnya.

“Ketika hujan lebat mulai turun, isteri mengejutkan dari tidur dan kami mengemaskan barang-barang yang perlu seperti dokumen penting.

“Selain itu, saya turut dapat membawa beberapa helai pakaian sebagai persediaan untuk berpindah kerana melihat kepada hujan lebat yang agak luar biasa pada waktu itu,” katanya.

Zulkifli berkata, ketika waktu Asar, tiba-tiba pintu yang ditutup rapat terbuka kerana rempuhan air banjir yang ketika itu mulai naik pada paras pinggang.

“Semua perabot dan barang keperluan mula terapung walaupun ianya berat manakala anak-anak mulai cemas melihat
situasi tersebut.

“Saya terus membawa anakanak keluar dan memegang tangan mereka untuk meredah banjir bagi mencari tempat
perlindungan dan seterusnya di tempatkan di dewan ini.”

“Penempatan disediakan kepada mangsa-mangsa yang terlibat selain diberikan makanan dan keperluan lain,” katanya sambil menambah pihak berkuasa akan menyalurkan bantuan secara berperingkat setelah semua data mangsa dikemaskini.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas