SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima aduan mengenai seorang ahli perniagaan yang disyaki terbabit isu dakwaan rasuah berkaitan perolehan projek mineral di Sabah.
Menurut kenyataan suruhanjaya itu, siasatan awal berhubung aduan tersebut telah membawa kepada penemuan maklumat yang mengaitkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang disyaki terlibat isu dakwaan rasuah membabitkan ahli perniagaan berkenaan.
“Setakat ini, lima orang ADUN telah dipanggil untuk dirakam percakapan, dan siasatan masih giat dijalankan,” katanya.
Untuk itu SPRM menyeru orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes ini dan memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk melengkapkan siasatan dengan telus dan menyeluruh.
Sebelum ini media melaporkan, ADUN terbabit dipanggil susulan dakwaan skandal rasuah berdasarkan klip video memaparkan perbualan mereka yang disebarkan di sebuah portal berita.
Setakat ini, satu klip audio dan tiga klip video memaparkan perbualan ADUN Sabah dengan individu yang dipercayai bertanggungjawab merakam klip terbabit tersebar di portal berkenaan. – WILAYAHKU